Jaulah ke Jakarta dan Kota Bandung

Mengamati pengalaman para amilin dan kebijakan di medan operasi 

- Advertisement -

INDONESIA, tanah seribu pulau itu dalam sejarahnya lazim tersentak dengan gegaran gempa bumi 5.5 ke 7.7 skala richter, seterusnya dibadai tsunami besar seperti tragedi di Acheh, Pangandaran, Cipatujah serta tragedi 2018 di Kota Palu dan Donggala. Tidak berselang jauh dengan gempa bumi Pulau Lombok yang menewaskan ribuan manusia dan kerosakan ratusan ribu rumah kediaman, termasuk mercu tanda sejarah kerajaan Mataram. 

Derita dan musibah saban waktu menjadikan rakyatnya keras bak kerikil tajam, mampu berhijrah ke mana sahaja untuk mencari rezeki untuk menyuapi keluarga yang  ditinggalkan di Indonesia. 

Indonesia tidak pernah sunyi dari terjahan ujian dan malapetaka, bertindih-tindih sehingga sentiasa menjadi tarikan lensa dunia. Saban bulan bahkan saban minggu, ada sahaja peristiwa besar yang mencuat dan menjadi bahan perbualan, bahkan polemik masyarakat antarabangsa. Tsunami, gempa bumi, banjir lumpur, pengeboman, rusuhan, tanah runtuh, ledakan gunung berapi dan seribu satu masalah yang menjadikan negara kepulauan ini sangat popular. 

- Advertisement -

Politik negara ini sangat berwarna warni; dijarah 350 tahun oleh Belanda, gerakan rakyat yang dipimpin oleh para alim ulama, juga gerakan kiri menjadi latar kanvas sejarah yang menyebabkan tahap patriotisme warga Indonesia sangat piawai. 

“Negara ini luar biasa, pak, nggak ada yang biasa-biasa sahaja, bencananya hebat, sebagaimana kiainya juga ngetop, politiknya juga tak dapat diramalkan siapa paling kuat kerana koalisi politik sentiasa bertukar ganti,” tukas seorang aktivis politik Indonesia, sambil menyuapkan nasi uduk dengan aroma kopi yang harum. Tuturnya itu diluah dengan nada suara yang mendatar, disepuh rasa kecintaan yang tinggi kepada tanah watannya. Aku diam tak berkutik mendengar luahan rasa aktivis politik dalam usia awal 50-an itu.

Jaulah  kali ini dengan sejumlah anggota legislatif dari negeri Terengganu yang dipimpin oleh Pengerusi BBC Terengganu, Ustaz Ahmad Shah yang juga ADUN Bandar Kuala Terengganu. Turut bersama rombongan jaulah ini ialah Dato’ Dr Alias Razak, MP Kuala Nerus yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu. Belasan Adun Terengganu yang bergabung dalam BBC, isteri-isteri, juga lima orang AJK Lestari Pusat melawat beberapa lokasi menarik termasuk sanggar budaya, mengadakan pertemuan khas dengan pimpinan PKS (Partai Keadilan Sejahtera) Bandung.

Indonesia pernah memunculkan gerakan fenomenal, Sarekat Islam Indonesia pada awal abad 20 sehingga diharamkan oleh penjajah Belanda. Juga kemunculan Mashyumi (Majlis Syura Muslim in Indonesia) pada tahun 1943 sehinggalah gerakan Islam itu juga diharamkan di zaman ORLA (zaman Soekarno). 

Tidak sedikit aktivis politik Islam yang mendekam di penjara termasuk Professor HAMKA, Dr Mohd Nasir, A.M. Fatwa dan lain-lain tokoh gerakan.

Pasca reformasi Mei 1998, keinginan pelbagai kelompok aktivis Islam menggebu untuk menubuhkan beragam parti Islam di negara itu. Malah dalam kunjungan hormat Almarhum Ustaz Fadhil Noor ke Jakarta pernah mengingatkan sesepuh aktivis dakwah agar tidak menubuhkan banyak parti politik Islam kerana ianya akan menghilangkan kekuatan umat. 

Tanah seribu pulau ini mempunyai lebih 40 parti politik Islam dan ternyata agak sukar menyatukan suara umat Islam. Impaknya partai bernuansa sosialis dan liberal  lebih dominan, bahkan menguasai kerajaan.

PKS antara parti politik Islam yang mendapat dukungan rakyat, antaranya Bandung juga menjadi kubu mereka. Melahirkan ramai sosok politik Islam seperti Dr Nur Hidayat Wahid, Dr Salleh Saqaf Aljofree dan Anis Matta. 

PKS juga pernah berdepan dengan perpecahan, antaranya kader-kader pentingnya seperti Anis Matta yang menubuhkan Partai GELORA dan kini Pak Anis menjadi Timbalan Menteri dalam kabinet Prabowo.

Menurut Ketua PKS Bandung Barat, Ustaz Hud Salahuddin, PKS juga memberikan perhatian utama kepada pembinaan kader-kader perjuangan terutama anak-anak mereka sendiri agar memahami fikrah perjuangan Islam semenjak umur masih dini.

Pak Rismanto, Anggota DPRD yang juga pimpinan PKS, juga menjelaskan bagaimana usaha merengkuh sokongan rakyat terbanyak dilakukan dengan pelbagai pendekatan. Jihad pendidikan menjadi obligasi parti bernuansa Islam itu, menggerakkan penubuhan sekolah-sekolah Islam, menyatukan pondok pesantren, mengusahakan halaqah, kajian Islami untuk generasi muda. 

Menurutnya, PKS di seluruh Indonesia mempunyai ratusan NGO yang menyerap ke pelbagai sendi dan lapisan rakyat. Aktivis-aktivis mereka turun paling awal ke mana-mana bencana yang menimpa Indonesia malah mempunyai SOP untuk menggalang setiap bencana.

Parti yang ditubuhkan oleh kader-kader dakwah pasca reformasi ini juga mempunyai jaringan antarabangsa termasuk mesra dengan PAS di Malaysia.

Anggota legislatif mereka juga aktif menyuarakan isu rakyat, mendesak pemakanan percuma untuk kelompok pelajar miskin di sekolah, membaiki kemudahan infrastruktur, juga diberikan jawatan Menteri Sumber Manusia dalam kabinet Prabowo hari ini. 

Rakyat Indonesia sedang menuai pelbagai kebijakan politik pemimpin mereka yang jauh semakin matang. 

Pelaburan langsung asing (FDI) mereka meningkat, indeks salah laku rasuah mereka semakin membaik akibat tindakan tegas kepada koruptor, kelestarian kota mereka juga semakin menguja akal kita. 

Unjuk rasa skala besar untuk menunjukkan protes rakyat semakin berkurangan terhadap kerajaan, namun jutaan warga boleh turun bersolidariti untuk Palestin.

Sepuluh tahun akan datang, dengan kondisi sosio politik begini, pasti Indonesia akan memintas Malaysia. 

Politik serta sosio ekonomi kita semakin merudum. Kontrak sosial semakin dileraikan.

“Lihat, hari ini kita naik bullet train Whoosh. Hanya 35 minit masa diambil dari Bandung ke Jakarta yang dahulunya tiga ke empat jam! Maknanya, Indonesia semakin pantas bergerak meninggalkan kita,” berdecak seorang ahli BBC Terengganu semasa kami meninggalkan Terminal Halim.

Aku tersenyum pahit  mengenangkan jauhnya jarak intelektual kabinet Prabowo dengan Perdana Menteri ke-10 (PMX). Ironinya, Indonesia melaju jauh melaksanakan reformasi namun yang mereka laungkan lebih suku dekad lampau, ketimbang laungan reformasi Malaysia adalah simbahan air kencing penguasa bobrok manusia jalanan yang sedang mabuk kuasa!

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 25/1/2025

- Advertisement -