
TEBRAU: Guru adalah tiang seri kepada pembinaan ummah dan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang seimbang dari segi rohani, intelektual dan akhlak.
Ketua Pengarah SRITI Malaysia, Ustaz Azuan Ali Aziz berkata, tugas seorang pendidik tidak hanya terhenti pada menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga merangkumi tanggungjawab menyemai nilai dan membentuk jiwa pelajar.
“Dalam era yang serba mencabar ini kalian adalah pelita yang menerangi jalan kegelapan menyuluh hati dan minda anak-anak murid kita.
“(Ia) agar mereka menjadi insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen SRITI Malaysia kali ketiga di Ulu Tiram, di sini hari ini.
Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 333 graduan menerima diploma perguruan, dengan lapan daripadanya menerima Anugerah Ketua Pengarah SRITI Malaysia atas pencapaian cemerlang mereka.
Majlis itu turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin PAS, barisan panel penasihat kurikulum SRITI, dan ibu bapa para graduan.
Azuan turut menyeru para graduan SRITI untuk terus menabur bakti dan memberikan khidmat terbaik sebagai pendidik yang berdedikasi.
“Dalam penuh kerelaan hati saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua bahawa setiap usaha kita dalam dunia pendidikan ini adalah satu ibadah. Sesungguhnya mendidik adalah tugas mulia yang ganjarannya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak insya-Allah.
“Mudah-mudahan usaha kita ini mendapat reda Allah dan diganjari dengan pahala yang tidak pernah putus-putus sehingga ke hari kiamat. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/1/2025











