
MARANG: Antara strategi musuh untuk melemahkan tentera Islam adalah dengan menjebak mereka terlibat dalam maksiat seperti minum arak, berjudi, dan melakukan perbuatan haram yang lain.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, tindakan itu bertujuan untuk merosakkan kekuatan spiritual tentera Islam, sehingga kehilangan keberkatan dan pertolongan Allah SWT.
“Orang putih dia didik askar kita suruh minum arak. Suruh minum arak, suruh buat maksiat, suruh berjudi, suruh ni, suruh ni. Dia didik askar-askar (kita begitu). Askar dia tak apalah (buat macam itu).
“Askar kita dididik begitu juga. Dia ajar macam itu. Macam mana nak perang? Kalahlah jawab dia. Jadi tunduk kat orang. Dah tak ada kekuatan.
“Bila tentera buat maksiat akan dikalahkan oleh musuh. Tak ada berkat, tak ada pertolongan Allah Taala,” katanya ketika menyampaikan kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Peringatnya ketakwaan kepada Allah adalah senjata paling kukuh dalam menghadapi musuh, sebagaimana pesan Khalifah Umar al-Khattab kepada Sa’ad Abi Waqqas yang ditugaskan mengetuai tentera Islam menghadapi Rom.
“Sesungguhnya ketakwaan kepada Allah SWT adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh. Dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam menghadapi peperangan.
“Takwa senjata yang paling kukuh untuk lawan musuh. Kena bertakwa pada Allah Taala di mana saja kamu berada. Seorang ke, dengan orang ramai ke, bertakwa kepada Allah. Takwa senjata paling kuat untuk lawan musuh,” katanya.
Menurut beliau, dosa dan maksiat yang dilakukan oleh tentera Islam lebih ditakuti berbanding ancaman kekuatan musuh itu sendiri.
“Aku (Umar) memerintahkan kepadamu (Saad) dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhkan diri daripada melakukan maksiat, melakukan dosa. Kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera tentera Islam adalah lebih aku takuti berbanding musuh-musuh Islam.
“Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu nescaya tiada kekuatan bagi orang-orang Islam,” katanya memetik nasihat Saidina Umar kepada Sa’ad.
Tuan Guru turut menekankan bahawa umat Islam tidak boleh beranggapan kemenangan adalah hak mutlak mereka semata-mata kerana mereka Islam.
“Jangan kamu kata ‘oleh kerana kita ni orang Islam kita mesti menang. Mereka orang kafir mesti kalah. Kita benar, mereka salah. Kita
mesti menang,’ Tidak begitu.
“Berapa banyak kaum-kaum zaman dulu, kaum Bani Israel yang beriman percaya pada Allah Taala, tapi buat maksiat dibinasakan oleh Allah. Oleh musuh-musuh mereka.
“Maka akan datang satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh sepertimana yang telah berlaku ke atas kaum Bani Israel dengan akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir Majusi penyembah api,” katanya.
Tuan Guru menegaskan bahawa jumlah tentera Islam yang kecil serta kekurangan kelengkapan tidak menjadi penghalang kepada kemenangan jika mereka menjaga ketaatan kepada Allah.
“(Namun) jika tingkah laku kita tiada bezanya dengan pihak musuh yang turut melakukan maksiat, nescaya kekuatan untuk memerangi untuk memenangi perang akan menyebelahi pihak musuh.
“Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT ke atas musuh-musuh ini sudah pasti kita tidak akan dapat menandingi kehebatan mereka,” jelasnya.
Tuan Guru juga mengingatkan bahawa setiap perbuatan umat Islam diperhatikan oleh malaikat yang menjaga dan mencatat amal mereka.
Beliau menyeru umat Islam untuk sentiasa berdoa, memohon pertolongan Allah, dan menjauhi maksiat.
“Sentiasalah kalian memohon pertolongan kepada Allah SWT untuk menghilangkan penyakit yang ada dalam diri kalian sebagaimana kalian memohon pertolongan Allah untuk mengalahkan musuh-musuh kalian.
“Berdoalah untuk diri kalian yang tiada lupa juga buat seluruh umat Islam,” katanya petik pesanan Umar. – HARAKAHDAILY 24/1/2025











