Ancaman ideologi moden (Bah. 1)

- Advertisement -

PENDAHULUAN: Al-Quran adalah panduan

Al-Quran bukan sekadar menceritakan kebenaran dan ciri-cirinya, tetapi juga menyingkap kesesatan agar manusia dapat menjauhinya. 

Kedua-duanya dibentangkan dengan hikmah, kerana manusia lebih menghargai kebenaran apabila melihat buruknya kesesatan. Begitu juga, hanya setelah mengetahui nikmat kebenaran, seseorang dapat memahami derita kesesatan.

Kebenaran membawa kebahagiaan dan kesempurnaan hidup, manakala kesesatan membawa kehancuran dan kerugian, di dunia dan akhirat. Maka, memahami kedua-dua perkara ini adalah kunci untuk selamat dari ancaman ideologi moden yang cuba memesongkan umat manusia.

Asal-usul kebenaran dan kesesatan

Kebenaran itu datangnya daripada Allah SWT, seperti firman-Nya:

- Advertisement -

{ وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَاۤءَ فَلۡیُؤۡمِن وَمَن شَاۤءَ فَلۡیَكۡفُرۡۚ إِنَّاۤ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّـٰلِمِینَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ… }

“Dan katakanlah (wahai Muhammad ﷺ): ‘Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya’. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah…” [Surah Al-Kahf: 29]

Sebaliknya, kesesatan bermula apabila iblis mengingkari perintah Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam AS. Firman-Nya:

{ وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ ٱسۡجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوۤا۟ إِلَّاۤ إِبۡلِیسَ… }

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’; lalu mereka semua sujud kecuali iblis…” [surah Al-Kahf: 50]

Iblis menolak kerana berasakan dirinya lebih mulia:

{ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ }

“Iblis berkata: ‘Aku lebih baik daripada Adam. Engkau menciptaku daripada api, sedangkan dia Engkau cipta daripada tanah’.” [surah Al-Aʿrāf: 12]

Iblis sombong, menganggap dirinya bebas daripada syariat Allah SWT. Kesombongan ini menjadikan iblis berpaling daripada kebenaran, lalu Allah SWT murka dan menyingkirkannya dari rahmat-Nya.

Ikrar keramat Iblis

Sebagai balasan atas kesombongan, iblis berikrar untuk menyesatkan anak cucu Nabi Adam AS:

{ قَالَ رَبِّ بِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأُزَیِّنَنَّ لَهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِیَنَّهُمۡ أَجۡمَعِینَ }

“Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menyesatkan aku, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan maksiat kepada mereka di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya’.” [surah Al-Ḥijr: 39]

Daripada ikrar ini, iblis menggunakan tiga cara utama untuk menyesatkan manusia:

Pertama: Memasukkan pemikiran bebas – Membebaskan diri daripada perintah dan syariat Allah SWT.

Kedua: Mencantikkan maksiat – Membuat dosa kelihatan menyeronokkan dan biasa.

Ketiga: Mengubah cara fikir – Menyongsangkan pemikiran supaya menolak kebenaran dan menerima kebatilan.

Sasaran iblis adalah seluruh keturunan Nabi Adam AS. Apa yang perlu difahami ialah iblis asalnya makhluk yang soleh, tetapi menjadi sesat bukan kerana kurangnya ibadah, melainkan kerana cara fikirnya yang menentang perintah Allah SWT.

Pengajaran untuk umat Islam

Kita perlu berhati-hati dengan tipu daya iblis yang memanfaatkan kelemahan manusia dalam pemikiran, nafsu, dan keyakinan. Serangan ideologi moden yang menolak syariat, mencantikkan dosa, dan mengelirukan cara fikir umat Islam adalah kesinambungan strategi iblis sejak zaman Nabi Adam AS.

Kita mesti kembali kepada petunjuk al-Quran dan sunnah untuk menangkis ancaman ini. Ingatlah, Allah SWT telah menjelaskan kebenaran dengan sejelas-jelasnya, dan hanya mereka yang berpegang teguh kepada-Nya akan selamat.

Wallahua’lam. Bersambung…….

(Catatan dan ubahsuai berdasarkan syarahan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Mujahid Ir Haji Mohamad Fadzil)

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
24 Rejab 1446H | 24 Januari 2025 – HARAKAHDAILY 24/1/2025

- Advertisement -