
KOTA BHARU: Sambutan Tahun Baru Cina 2025 di pekarangan Rumah Penghulu Tanpa Mukim (Hubungan Antara Kaum), Chua Ing Ching di Kampung Aur Duri dekat sini menjadi wadah memperkukuh perpaduan antara kaum di Kelantan khususnya di DUN Salor.
Majlis yang bermula pada jam 9:30 pagi semalam itu dihadiri 120 orang dari kaum Tiong Hua pelbagai usia dengan suasana penuh kemeriahan.
ADUN Salor, Saizol Ismail berkata, sebanyak 130 kotak limau mandarin dan angpau diberikan kepada peserta yang hadir termasuk kanak-kanak bagi mengembirakan tahun baru bakal mereka sambut nanti.
Ketika ditemui beliau berkata, antara tujuan program berkenaan diadakan untuk memupuk keharmonian antara kaum serta mempererat hubungan dalam kalangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) diketuai Chua.
Menurutnya, sambutan hangat ini menyaksikan wajah-wajah kegembiraan, terutama warga emas yang teruja dengan layanan mesra serta kehadiran semua pimpinan peringkat DUN Salor.
“Alhamdulillah, mereka juga rakyat ambo (saya) jadi adalah menjadikan kewajipan kita untuk mengembirakan serta meraikan mereka sempena Tahun Baru Cina tahun ini,” ujarnya ketika ditemui.
Beliau berharap sambutan seperti ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang kerana ia menjadi bukti pimpinan Kerajaan Kelantan sejak dahulu hingga kini sentiasa merakan golongan minoriti tanpa mengira bangsa dan agama.
“Program ini juga menjadi bukti komitmen kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan PAS dalam memperkukuh perpaduan komuniti pelbagai kaum di DUN Salor dan membawa mesej keharmonian berterusan,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 24/1/2025











