
KOTA BHARU: ‘Di sini lahirnya generasi Rabbani’ merupakan slogan baru Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) diumumkan Rektornya, Prof Dr Mazlan Ibrahim.
Pengumuman yang dibuat pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025 itu kelmarin bakal dijadikan panduan kepada semua bahagian dalam merangka aktiviti selari Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan.
Dalam ucapan beliau di Dewan Johor KIAS Nilam Puri turut mengariskan 10 elemen penting dalam amanat tersebut bagi membolehkan institusi pendidikan tinggi tersebut mencapai hasrat itu.
“Ini matlamat kita bersama pengurusan dan pentadbiran melaksanakan peruntukan dalam bajet 2025 berhemah serta pemerkasaan staf akademi bagi mencapai status universiti penuh.
“Selain pengurusan akademik yang berkualiti, penyelidikan tinggi, bersama menggembleng tenaga menjayakan pelan pemasaran dan menyerlahkan mahasiswa sebagai produk Rabbani.
“Kita akan memperkukuh jaringan dan pengantarabangsaan dan KIAS Insani sebagai sayap korporat KIAS,” katanya dalam satu catatan dalam laman sosial Facebook rasmi KIAS kelmarin.
Mazlan juga bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut merakamkan penghargaan kepada semua warga KIAS yang menunjukkan dedikasi dan komitmen sepanjang 2024.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu KIAS berjaya melakar kejayaan seperti penambahbaikan kemudahan kampus, penawaran program sarjana pertama dan penubuhan Pusat Halal KIAS.
Media sebelum ini melaporkan KIAS menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) yang merintis bagi melaksanakan dasar dirangka oleh kerajaan negeri melalui jawatankuasa pendidikan tinggi.
Malah dasar tersebut terus diperkukuh dibawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud slogan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI). – HARAKAHDAILY 24/1/2025











