
MENARIK sekali komen dari Lim Guan Eng terhadap cadangan balas kerajaan yang memutuskan untuk tidak memberikan tol percuma pada perayaan Tahun Baru Cina nanti.
Saya baca lagi bait-bait terjemahan yang diberikan oleh Rafizah Cian Lin seorang yang aktif menterjemahkan berita dan isu dalam bahasa mandarin kepada Bahasa Malaysia.
Apabila Lim menyebut perkataan ‘tradisi’ dan memintanya supaya diteruskan tol percuma pada setiap musim perayaan, saya terus teringat kepada royalti petroleum di Terengganu dan Kelantan.
Sebagaimana kenyataan yang pernah dibuat oleh Allahyarham Tun Salleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara yang mendrafkan perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri di Malaysia bagi hak carigali dan pemprosesan hasil petroleum sewaktu beliau menjadi Exco Kerajaan Terengganu.
Menurut beliau, dalam apa-apa perjanjian yang dibuat, jika ada amalan tradisi yang dilakukan dalam menunaikan perjanjian boleh dikira sebagai sebahagian dari perjanjian jika ia tidak dibantah oleh kedua-dua belah pihak.
Bermakna, jika tradisi pembayaran royalti sudah dibuat selama 21 tahun bermula 1978-1999 atas dasar laut Terengganu mempunyai telaga minyak, maka ia sepatutnya tidak menjadi masalah untuk pembayaran selepas tahun 2000 dan ke atas, tanpa membuat pelbagai alasan.
Ternyata tradisi membayar wang royalti itu mahu dihapuskan oleh Lim pada zaman beliau menjadi Menteri Kewangan. Manakala Tun Mahathir kemudiannya tetap mahu Kementerian Kewangan membayar wang royalti kepada Terengganu. Di zaman BN juga royalti diteruskan bayarannya kepada Kerajaan Negeri atas nama Wang Ehsan.
Jadi, agak menghairankan apabila Lim dengan bersungguh-sungguh meminta tradisi tol percuma di waktu perayaan diberikan walaupun tidak pernah ada perjanjian mengenainya dan dalam masa yang sama ketika dia menjadi menteri, mahu menyekat bayaran royalti yang sudah ada termaktub dalam perjanjian.
MOHD NASIR ABDULLAH
23 Januari 2025 – HARAKAHDAILY 23/1/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











