Siapa dilindungi hingga KPKM hilang kejantanannya?

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Apakah ada kepentingan pihak tertentu yang ingin dilindungi sehingga KPKM hilang kejantanannya?” soal Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan Negeri, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) yang menyarankan Perdana Menteri menyerahkan sementara portfolio urusan padi dan beras di bawah NACCOL, bagi penyelesaian segera terhadap isu berlarutan itu.

Menurut Azman, NACCOL yang kini diterajui Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak mempunyai punca kuasa berkaitan kawalan dan penguatkuasaan bagi melaksanakan fungsi kawal selia.

“Ini bidang kuasa KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan). Masalahnya sangat jelas tapi kenapa jalan penyelesaiannya dijadikan terlalu berbelit-belit,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, menurut Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, kesan berantai daripada peningkatan kos yang ditanggung oleh pesawah akibat kenaikan harga diesel memang tidak dapat disangkal lagi.

Kata beliau, kenaikan kos seperti membajak, meratakan sawah, penggunaan jentuai dan tambang lori tidak dapat dielakkan, menyebabkan para petani terus terbeban. 

“Yang jatuh hanyalah air mata petani. Mereka yang menafikan hal ini tentunya selesa duduk dalam pejabat berhawa dingin tanpa pernah jejak kaki dalam lumpur sawah,” katanya.

Beliau berkata, selaras peningkatan itu, sudah sewajarnya harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,300 kepada julat RM1,500 hingga RM1,800 per tan yang lebih munasabah.

“Perlu difahami bahawa peningkatan harga padi akan juga meningkatkan harga jualan beras.

“Saya berpandangan adalah rasional untuk harga beras tempatan dinaikkan sedikit dari RM2.60 sekilogram sekarang selaras dengan kenaikan harga padi.

“Kalau naik sikit jadi RM2.80 hingga RM3 sekilogram pun rakyat boleh terima. Ia lebih baik dari beras tempatan yang ditukar identiti jadi beras import dan dijual dengan harga beras import melebihi RM3.80 sekilogram sekarang,” katanya.

Azman berkata, cadangan tersebut telah pun dibawa kepada pihak berautoriti termasuk Menteri, meskipun kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa dalam isu harga padi. 

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif membuka sekatan penjualan padi bagi membolehkan pesawah menjual kepada kilang yang menawarkan harga lebih tinggi.

“Alhamdulillah, sekarang ini harga belian padi di Terengganu telah meningkat kepada RM1,550 per tan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -