
KUCHING: Kejayaan Sarawak sebagai negeri perintis teknologi hidrogen menarik perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan (JKPK ASSP) untuk mendalami usaha negeri itu dalam pembangunan tenaga mampan.
Pengerusi JKPK ASSP, Datuk Ahmad Amzad Hashim, memuji keupayaan Sarawak dalam meneroka potensi teknologi hidrogen yang kini menjadi komponen utama agenda pembangunan negeri tersebut.
“Kami ingin mempelajari lebih lanjut mengenai perkembangan teknologi hidrogen, yang mana Sarawak kini berada di hadapan dalam bidang ini.
“Kami telah mengunjungi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk mendengar taklimat mengenai teknologi hidrogen serta melihat projek perintis, termasuk bas dan kereta yang digerakkan oleh tenaga hidrogen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.
Amzad turut memuji pendekatan strategik Sarawak yang menumpukan kepada sumber tenaga bebas karbon seperti hidrogen dan hidroelektrik.
Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, usaha itu selaras dengan keperluan tenaga masa depan yang mesra alam.
“Sarawak telah mencapai kemajuan memberangsangkan, sebahagian besar tenaga yang dihasilkan datang daripada sumber bebas karbon seperti hidrogen dan hidroelektrik.
“Ini adalah pencapaian luar biasa yang perlu diketengahkan di peringkat nasional,” ujarnya lagi.
Beliau turut meluahkan keyakinan bahawa pelaburan Sarawak dalam teknologi hidrogen akan memberi impak besar kepada masa depan tenaga negara dan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber berkarbon tinggi. – HARAKAHDAILY 23/1/2025











