
PAS Negeri Kedah kehilangan seorang insan yang amat disayangi khususnya di Kawasan Kuala Kedah.
Ramli Abdul Rahman, 78, insan yang banyak menghabiskan masa usianya membantu perjuangan Islam, pergi mengadap Ilahi ke negeri abadi, pagi tadi.
Amilin yang sentiasa beristiqamah bersama perjuangan PAS ini, bukan sekadar insan biasa, sebaliknya permata tidak ternilai, pejuang sejati malah mencurahkan segalanya demi perjuangan Islam dicintai.
Jarang sekali tidak kelihatan kelibat beliau dalam mana-mana program parti sama ada di peringkat PAS Kawasan Kuala Kedah mahupun, PAS Kedah.
Allahyarham yang juga mesra dengan panggilan Pak Jang Li, pernah bertugas di Pejabat PAS Kedah, Jalan Kota, Alor Setar dan salah seorang pengedar akhbar Harakah sekitar Alor Setar dan Kuala Kedah.
Beliau sanggup turun ke medan, menggalas beg dan kotak derma semata-mata untuk mencari dana membiayai operasi PASTI Al-Ghassam, di cawangan PAS Sungai Baru Tengah.
Pemergian beliau bukan sekadar kehilangan seorang pejuang, tetapi juga kehilangan seorang insan yang menjadi inspirasi kepada orang lain malah lambang keikhlasan tidak pernah mengharapkan balasan duniawi.
Kehilangan ini dirasai bukan sahaja oleh keluarga dan rakan seperjuangan, tetapi juga oleh seluruh masyarakat yang selama ini menyaksikan pengorbanannya dalam senyap.
Jasa Allahyarham akan sentiasa menjadi teladan dan obor kepada generasi yang akan datang.
Justeru, kesempatan ini, Harakah dan seluruh warganya, mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya atas kehilangan insan yang istimewa ini.
Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, menerima amalannya, dan menempatkan beliau di syurga-Nya yang tertinggi.
Jenazah Allaharyam disemadikan di Tanah Perkuburan, Masjid Sungai Baru Hilir, Anak Bukit, tengah hari tadi.
Kehilangannya pasti dirasai, tetapi semangatnya akan kekal bersama orang yang ditinggalkan. Al-Fatihah. – HARAKAHDAILY 23/1/2025











