Kem Aulad Soleh beri kesan besar buat fasi, peserta

Barisan fasilitator perempuan merakam kenangan bersama Ustaz Yussaine Yahya (duduk, tengah)
- Advertisement -

KANGAR: Pengalaman pertama kali menguruskan seramai 700 anak-anak serentak menjadi kenangan manis buat fasilitator dan penganjur Kem Aulad Soleh (KAS) Siri 1/2025, yang berlangsung selama empat hari bermula 19 Januari dan berakhir semalam.

- Advertisement -

Seorang fasilitator, Qistena Fatehah Aznizam, 17, berkongsi pengalaman penuh cabaran tetapi mengujakan.

“Pertama kali saya berada dalam program sebegini, mengurus budak-budak seramai 700 orang.

“Awalnya memang susah kerana mereka susah mendengar arahan, ada yang memberontak, tetapi lama-kelamaan, bila dipujuk, semuanya jadi seronok. Walaupun kadang-kadang terlepas marah, pengalaman ini sangat bermakna,” katanya.

Para peserta kem turut teruja dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat besar dalam pembelajaran agama.

Arissa Adawiyah Ehsan Shafie, 10, dari Sekolah Kebangsaan Putra, Kangar, berkata kem ini memberikannya peluang belajar banyak perkara baharu.

“Seronok belajar tentang rukun iman, cara ambil wuduk, baca surah, dan tambah ilmu. Lagi best sebab ada kawan-kawan dari sekolah saya.

“Saya tahu pasal kem ini daripada TikTok. Kalau ada lagi, saya nak sertai lagi,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu, Nur Adawiyah Kamal, 12, dari Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai menambah, kem ini membantunya mendalami ilmu fardu ain.

“Seronok belajar cara ambil wuduk yang betul dan solat dengan lebih mendalam. Banyak ilmu baru yang saya dapat,” ujarnya.

Bagi Muhammad Naufal Husni Amin, 10, dari Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Langkawi, pengalaman menyertai kem ini membuka peluang untuk lebih memahami amalan agama.

“Saya belajar tentang solat, hafaz hadis, dan doa. Fasilitator semua baik dan sangat membantu,” katanya.

Tidak hanya peserta, malah ibu bapa turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran kem ini.

Seorang ibu, Natasa Mohd Noor, menyatakan penghargaan atas usaha pihak penganjur.

“Alhamdulillah, selesai sudah KAS Siri 1/2025. Terima kasih kepada penganjur dan semua yang terlibat. Anak-anak seronok belajar doa dhuha dan selawat Nariyah.

“Tentatif kem ini sangat baik, makanan pun sedap. Harap kem ini dapat diteruskan setiap tahun,” katanya.

Kem Aulad Soleh, anjuran Maahad Tahfiz Integrasi Negeri (MATIN), terbukti berjaya dalam menyemai nilai-nilai Islam kepada generasi muda.

Aktiviti seperti hafazan, penghayatan doa, dan pengajaran fardu ain diharap dapat diteruskan pada siri-siri akan datang. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -