Nael Barghouti dibebaskan selepas 44 tahun dipenjarakan

Eman Nafe, isteri tahanan Palestin Nael Barghouti, yang menghabiskan 44 tahun di penjara Israel, memegang gambar suaminya, di rumahnya berhampiran Ramallah, di Tebing Barat yang diduduki Israel. REUTERS/Ismael Khader
- Advertisement -

RAMALLAH: Tahanan Palestin paling lama dalam penjara Israel dan dianggap sebagai ‘dekan’ oleh pejuang Palestin, Nael Barghouti adalah antara lebih 200 tahanan Palestin yang akan dihantar keluar negara di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan.

- Advertisement -

Barghouti, 67, menghabiskan 44 tahun dalam penjara Israel – tempoh paling lama bagi mana-mana tahanan Palestin.

Beliau dipenjara pada 1978 atas tuduhan membunuh seorang pemandu bas Israel, dibebaskan pada 2011 dalam pertukaran tahanan, tetapi ditangkap semula tiga tahun kemudian dan terus ditahan sehingga kini.

Israel menetapkan bahawa tahanan Palestin yang didapati bersalah membunuh rakyat Israel mesti dihantar keluar negara secara kekal jika dibebaskan melalui perjanjian gencatan senjata Gaza, dan tidak akan dibenarkan kembali ke rumah mereka di Tebing Barat yang diduduki.

Barghouti adalah antara 217 tahanan yang disenaraikan oleh Kementerian Kehakiman Israel, menurut Persatuan Tahanan Palestin.

Isterinya, Eman Nafe, yang juga bekas tahanan selama 10 tahun atas tuduhan merancang serangan berani mati, percaya suaminya mungkin menolak pembebasan jika ini bermakna perlu meninggalkan tanah airnya.

“Saya pasti dia akan menolak ini,” katanya.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin, terdapat 10,400 rakyat Palestin di penjara Israel, tidak termasuk mereka yang ditahan di Gaza sepanjang 15 bulan perang terakhir.

Melalui perjanjian gencatan senjata, HAMAS dijangka membebaskan 33 tebusan dalam fasa enam minggu pertama, termasuk wanita, kanak-kanak, lelaki berusia lebih 50 tahun, serta tahanan yang sakit dan cedera.

Sebagai balasan, Israel akan membebaskan 1,167 individu yang ditahan di Gaza semasa perang dan 737 tahanan lain dari Tebing Barat, Baitulmaqdis atau Gaza.

Tiga tebusan Israel pertama dibebaskan pada Ahad lalu sebagai pertukaran bagi 90 tahanan Palestin, namun tiada tahanan Palestin yang dianggap sensitif termasuk dalam kumpulan awal tersebut.

Barghouti yang berkongsi nama keluarga dengan pemimpin politik terkenal, Marwan Barghouti – seorang saudara jauh – bakal mendapati banyak perubahan berlaku dalam kehidupan sepanjang tempoh penahanannya, kata isterinya.

“Dia akan mendapati bahawa satu-satu abangnya telah meninggal dunia, anak saudaranya syahid, banyak rumah telah musnah, dan ramai ahli keluarganya masih ditahan,” katanya – REUTERS / HARAKAHDAILY 22/1/2025

- Advertisement -