
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mengkritik keputusan kerajaan tidak melaksanakan tol percuma seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyifatkan tindakan itu sebagai kegagalan yang mencerminkan kelemahan kerajaan dalam menunaikan janji-janji manis Pakatan Harapan (PH) itu kepada rakyat.
Keputusan itu juga menurutnya mengundang pelbagai reaksi, termasuk kritikan keras daripada rakyat yang berasa tertipu dengan janji-janji manis Pakatan Harapan (PH).
“Janji ini, yang suatu ketika dahulu menjadi bahan utama kempen PH, kini nampaknya hanyalah sekadar retorik politik untuk meraih undi. Dalam manifesto PH pada PRU15, mereka dengan jelas menjanjikan untuk mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya.
“(Mereka juga berjanji) berunding untuk mendapatkan harga terbaik, dengan pencapaian pengurangan 18 peratus kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2),” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini
RM10 bilion nak hapus RM130 bilion?
PH juga imbasnya bertekad untuk meneruskan pengurangan tol secara berperingkat dengan matlamat akhir penghapusan tol dan pengembalian lebuh raya PLUS kepada milik awam.
Menurutnya, sebagai latar belakang, penghapusan tol bukanlah satu perkara mudah kerana industri lebuh raya bertol di Malaysia itu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk syarikat konsesi, institusi kewangan, dan pelabur asing.
Berdasarkan laporan Kementerian Kerja Raya, kos pengambilalihan konsesi lebuh raya yang dirancang untuk tempoh 2020-2030 dijangka mencecah lebih RM130 bilion.
Itu termasuk pampasan kepada syarikat konsesi untuk kehilangan pendapatan jangka panjang, malah menurutnya, kerajaan PH sendiri pernah memegang kuasa selepas PRU14 pada 2018 dan mengetahui kesukaran itu.
“Jadi, mengapa mereka masih berani berjanji untuk menghapuskan tol jika sedar ia bukan mudah dilaksanakan? Ada juga yang berhujah, itu adalah Manifesto PH, bukan manifesto ‘Kerajaan Perpaduan’.
“Jika demikian, satu persoalan besar timbul, jika benar PH ingin melaksanakan janji ini tetapi rakan-rakan dalam kerajaan campuran menentangnya, kenapa tidak ada penjelasan secara terbuka?” persoalnya.
Ahmad Fadhli menyarankan agar kerajaan menjelaskan secara terang pihak mana dalam kerajaan yang menentang pelaksanaan tol percuma, sekiranya ia benar-benar pernah dirancang untuk dilaksanakan.
Jika tidak katanya, kenyataan itu hanya akan dilihat sebagai alasan untuk menutup kelemahan dan kegagalan dalam melaksanakan janji.
Menurutnya, dalam Bajet 2024, kerajaan hanya memperuntukkan RM10 bilion untuk pelbagai program pembangunan infrastruktur, jumlah yang sudah pasti tidak mencukupi untuk menyokong usaha penghapusan tol.
“Keputusan terkini kerajaan untuk mengekalkan kutipan tol, termasuk ketika musim perayaan, juga mencerminkan kekurangan komitmen untuk melaksanakan reformasi yang pernah dijanjikan.
“Ini adalah satu tamparan hebat kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, yang sering mengharapkan sedikit kelegaan kewangan ketika musim perayaan,” ujarnya.
Tol percuma sesakkan jalan?
Ahmad Fadhli menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa tol percuma tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya seolah-olah cuba mengalihkan isu sebenar.
Beliau berkata, kesesakan jalan raya adalah masalah berasingan yang memerlukan perancangan pengangkutan awam yang lebih baik, bukannya dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat menikmati tol percuma.
“Adakah Zahid ingin mengatakan bahawa rakyat perlu membayar tol untuk memastikan jalan tidak sesak? Logik ini hanya mengelirukan dan tidak membantu menyelesaikan masalah utama.
“Pendirian ini menimbulkan tanda tanya mengenai integriti kerajaan semasa. Jika PH mengetahui bahawa penghapusan tol adalah sesuatu yang hampir mustahil dari segi kewangan, mengapa mereka menjadikan isu ini sebagai manifesto pilihan raya?
“Rakyat berhak mendapat jawapan yang jujur dan bukannya alasan yang direka-reka untuk menutup kegagalan menunaikan janji,” katanya.
Kerajaan menipu hadapi akibat serius
Beliau membuat perbandingan dengan negara-negara lain, menunjukkan bahawa kerajaan yang menipu rakyat sering menghadapi akibat yang serius.
“Contohnya, di Korea Selatan, skandal pembohongan politik pernah membawa kepada pendakwaan dan penyingkiran pemimpin tertinggi negara.
“Di Eropah, rakyat beberapa negara seperti Iceland dan Itali telah mengadakan protes besar-besaran sehingga memaksa pemimpin meletakkan jawatan,” terangnya.
Itu jelasnya menunjukkan bahawa rakyat tidak akan berdiam diri apabila mereka berasa dikhianati oleh kerajaan.
Beliau menegaskan agar Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan itu kerana slogan ‘Kita Boleh’ yang sering dilaungkan kini berakhir dengan nada sinis.
Secara realiti menurutnya, mereka tidak dapat memenuhi janji utama yang dibuat sendiri dan janji tidak ditepati bukan sahaja melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan tetapi juga mencemarkan kredibiliti politik di mata umum.
“Rakyat Malaysia bukan menuntut kesempurnaan, tetapi mereka menuntut kejujuran. Jika sesuatu perkara itu sukar dilaksanakan, maka nyatakan sahaja sejak awal, bukannya bermain dengan harapan rakyat demi memenangi undi.
“Keputusan ini bukan sekadar soal tol percuma, tetapi ia mencerminkan satu budaya politik yang perlu diperbetulkan — budaya janji kosong. Dan rakyat terus diulit dengan janji tol percuma yang bagaikan mimpi yang tak sudah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025











