PAS fokus menang PRU, tak bincang calon PM

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS menegaskan dakwaan kononnya parti itu sedang sibuk mencari calon Perdana Menteri ke-11 adalah tidak benar, memandangkan tiada sebarang perbincangan rasmi mengenainya dibuat di peringkat parti.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah menjelaskan, kenyataan Mursyidul Am PAS berhubung calon Perdana Menteri hanyalah pandangan peribadi beliau dan bukannya keputusan parti.

“Fokus utama kita adalah memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) terlebih dahulu.

“Ini seperti kahwin pun belum, mengandung jauh sekali, tiba-tiba nak bincang nama anak. Jadi, tidak betul dakwaan ini,” katanya pada media semalam ketika diminta mengulas berhubung perkara itu.

Beliau turut memberitahu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sering menyebut jawatan Perdana Menteri bergantung sepenuhnya kepada kemenangan parti pada PRU.

“Oleh itu, isu PAS sibuk mencari calon Perdana Menteri tidak berbangkit sama sekali,” ujar beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Mengulas mengenai kerjasama politik, Mohd Amar menegaskan PAS kekal komited dengan Perikatan Nasional (PN), namun terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin menyokong usaha mengubah kerajaan.

“Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bersama PN. Hubungan dengan Muafakat Nasional (MN) pula lebih kepada semangat kerjasama dan perpaduan kerana kita ada pengalaman bekerjasama yang cukup baik sebelum ini,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun berkata, PN membuka ruang kerjasama yang cukup luas kepada mana-mana pihak yang ingin bekersama.

Mohd Amar turut menyatakan, PAS menerima maklum balas positif daripada pihak dalam Umno yang masih mahu menghidupkan semangat MN.

“Oleh itu, PAS terus mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk bersama memperkukuhkan MN dan PN demi kestabilan politik negara,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/1/2025

- Advertisement -