Reputasi tadbir urus korporat terjejas, integriti diragui

Pengambilalihan saham MAHB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa segera campur tangan dan memastikan proses pengambilalihan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh konsortium Gateway Development Sdn Bhd (GDA) dipatuhi.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari membuat gesaan itu susulan perubahan terma termasuk penurunan ambang penerimaan daripada 90 peratus kepada 85 peratus dan lanjutan tarikh tutup tawaran.

Kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, keadaan keadaan disifatkan serius kerana menimbulkan persoalan berkait integriti pasaran dan perlindungan terhadap pemegang saham minoriti.

“Perubahan terma tawaran pengambilalihan MAHB oleh Gateway Development Alliance, yang diketuai oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajib dipandangan dengan serius.

“Perubahan ini, termasuk penurunan ambang penerimaan daripada 90 peratus kepada 85 peratus dan lanjutan tarikh tutup tawaran, menimbulkan persoalan mengenai integriti pasaran dan perlindungan terhadap pemegang saham minoriti.

“Tindakan mengubah syarat tawaran di pertengahan proses adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam pengambilalihan di Malaysia. Lebih mencurigakan apabila tiba-tiba tarikh untuk menarik balik tawaran menjadi lebih singkat iaitu pada 28 Januari.

“Persoalannya, kenapa pihak berkuasa seperti Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti dilihat seolah-olah membiarkan perkara ini berlaku tanpa tindakan tegas? Ini menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ketelusan dan keadilan pasaran modal negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Fadhli, sebagai institusi awam diamanahkan untuk menjaga kepentingan rakyat, Khazanah dan KWSP sepatutnya menunjukkan standard tadbir urus korporat yang tinggi.

Namun, tindakan mereka dalam isu ini mencerminkan sebaliknya dan boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi ini.

“Kita kesal dengan sikap kerajaan yang tidak proaktif dalam memastikan proses pengambilalihan ini berjalan dengan telus dan adil.

“Kegagalan kerajaan untuk memantau dan mengawal selia perubahan terma tawaran ini menunjukkan kelemahan dalam melindungi kepentingan pemegang saham minoriti dan integriti pasaran secara keseluruhan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tarikh tutup bagi penerimaan tawaran oleh GDA untuk saham belum dimiliki penawar dalam MAHB telah dilanjutkan sehingga 25 Jan berbanding tarikh asal pada hari ini.

Ini adalah lanjutan kedua bagi tawaran itu yang sebelum ini telah dipanjangkan dari tarikh asal 8 Jan ke 17 Jan.

Media turut melaporkan pihak penawar bersama pihak penawar utama secara kolektif memegang 86.18 peratus daripada saham MAHB.

Khazanah Nasional Berhad bersama KWSP dan GIP Aurea Pte Ltd, membentuk satu konsortium dikenali GDA dan membuat tawaran untuk membawa MAHB ke dalam pemilikan persendirian pada harga RM11 sesaham. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -