MPKK penghubung kerajaan dan rakyat – Mohd Shukri

- Advertisement -

KANGAR: Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) di negeri Perlis perlu terus memainkan peranan penting sebagai penghubung utama dalam menyampaikan hasrat dan dasar kerajaan kepada rakyat, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Elaun Pengerusi dan Setiausaha MPKK bagi tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Warisan, malam tadi.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar MPKK berperanan sebagai pemudah cara bagi memastikan mesej, bantuan, dan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri dapat diterima masyarakat di peringkat akar umbi.

“MPKK bukan sahaja menyampaikan dasar kerajaan, tetapi juga menjadi platform utama untuk menyalurkan masalah, cadangan, dan pandangan rakyat kepada pihak pentadbiran negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, peranan MPKK juga meliputi pelaksanaan program kemasyarakatan, penyelesaian isu setempat, serta membantu dalam agenda pembangunan fizikal dan sosial kampung.

Kerajaan Negeri Perlis mengiktiraf kepentingan ini dengan menyediakan elaun khusus kepada setiap MPKK, termasuk RM300 untuk pengerusi dan RM200 untuk setiausaha, sebagai tanda penghargaan kepada dedikasi mereka.

Selain itu, Mohd Shukri menyeru semua anggota MPKK untuk meningkatkan penyertaan dalam program-program seperti kursus kepimpinan dan pengurusan bencana bagi memperkasa keupayaan mereka dalam menghadapi cabaran semasa.

“Keberkesanan MPKK dalam menyampaikan hasrat kerajaan turut bergantung kepada komitmen tinggi setiap anggota dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Ini penting untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar MPKK terus menjadi tonggak kepada kejayaan program kerajaan negeri seperti Kempen Perlis Bersih dan Sihat, Perlis Go Digital, serta Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Hadir sama Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan Exco-exco Kerajaan Negeri, Abu Bakar Hamzah dan Asrul Aimran Abd Jalil serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -