Keseimbangan kerja atau kerosakan sistem kesihatan?

Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB)

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) menekankan kepentingan memahami beban petugas kesihatan dalam usaha memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan negara. 

PAPISMA berkata, pandemik COVID-19 menunjukkan bagaimana kesihatan boleh berubah menjadi bencana yang menjejaskan kehidupan, ekonomi dan kestabilan negara.

“Sistem penjagaan kesihatan yang cekap bukan sahaja memastikan keselamatan rakyat tetapi juga menjadi benteng utama negara menghadapi cabaran global,” kata badan itu dalam satu kenyataan.

Sejak pandemik COVID-19 menurut pertubuhan itu, ramai petugas kesihatan menghadapi tekanan ekonomi, dengan ada yang terpaksa bekerja di dua hingga tiga tempat untuk menampung kos kehidupan walaupun tugas mereka dianggap ‘senang’.

Situasi itu jelasnya, mencerminkan bahawa petugas kesihatan terbeban dan tidak dibayar setimpal seperti dilaporkan oleh New Straits Times pada Februari 2023. 

“Setelah meneliti pelbagai kenyataan dan sesi ‘town hall’, kami dapat memahami tujuan utama pelaksanaan Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB), iaitu untuk memberikan ‘work-life balance’ kepada doktor dan mengurangkan kos elaun ‘on-call’ untuk kerajaan,” katanya.

Namun, menurut pertubuhan itu, pelaksanaan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan mencapai tujuan yang diinginkan kerana dijangka akan mencetuskan beberapa isu besar.

Pertama kata PAPISMA, jabatan yang kekurangan staf akan menghadapi beban kerja meningkat akibat pengurangan jumlah kakitangan dalam setiap syif.

Jelasnya, waktu bertugas mungkin menjadi lebih pendek, tetapi kekerapan bertugas akan meningkat, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan dan keselamatan pesakit.

Kedua menurutnya, pelaksanaan WBB dijangka mengurangkan pendapatan petugas yang akibat tekanan ekonomi, terpaksa bergantung kepada elaun ‘on-call’ untuk menampung keperluan hidup dan berkemungkinan memberi impak besar terhadap kesejahteraan mereka.

“(Ketiga) Kekurangan tenaga kerja dan keletihan akibat beban kerja tinggi meningkatkan risiko kesilapan perubatan, yang akhirnya menjejaskan keselamatan pesakit,” katanya.

Cadangan penyelesaian

PAPISMA dalam kenyataannya mencadangkan langkah menambah pendapatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mempertimbangkan kesejahteraan petugas.

Pertama, mereka mecadangkan Malaysia memperuntukkan hanya 4.38 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) untuk sektor kesihatan, jauh lebih rendah berbanding Singapura (5.57 peratus), Thailand (5.16 peratus), dan Myanmar (5.63 peratus).

Jelasnya, peningkatan sebanyak 1 peratus daripada GDP mampu membawa perubahan besar, termasuk penambahan tenaga kerja serta peningkatan kebajikan petugas kesihatan.

Kedua, mereka mencadangkan agar takaful kesihatan mampu milik diperkenalkan bagi mengurangkan beban KKM, terutama bagi rawatan pembedahan dan keperluan alat perubatan.

“(Ketiga) Pelaksanaan WBB perlu melalui kajian terperinci dengan melibatkan semua pihak berkepentingan, terutama petugas klinikal, untuk memastikan model ini sesuai dengan realiti kekurangan tenaga kerja.

“(Keempat) Elaun ‘on-call’ perlu dinaikkan selaras dengan beban kerja sebenar untuk memastikan keadilan kepada semua petugas kesihatan.

“(Kelima) Pelaburan dalam pengambilan doktor, jururawat, dan pembantu perubatan perlu ditingkatkan. Penempatan semula petugas bukan klinikal ke jabatan kritikal juga perlu dipertimbangkan.

“(Keenam) Kerajaan perlu memberikan perhatian kepada sokongan mental, waktu rehat mencukupi, dan insentif kepada petugas kesihatan di jabatan kritikal,” cadang mereka.

PAPISMA berkata, petugas kesihatan adalah tulang belakang kepada sistem penjagaan kesihatan negara dan boleh menjadi faktor positif perkembangan ekonomi negara.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan WBB dilaksanakan secara teliti agar ‘work-life balance’ tercapai tanpa menjejaskan kesejahteraan petugas dan keselamatan pesakit.

“PAPISMA menyeru kerajaan agar lebih serius dalam menyelesaikan isu kebajikan dan kekurangan tenaga kerja kesihatan.

“Petugas Kesihatan yang dihargai adalah jaminan untuk rakyat yang sihat dan pemulihan ekonomi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -