PM, Menteri bohongi Dewan Rakyat perlu kena tindakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempertahankan prinsip asas parti yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Kata beliau, ia termasuk memastikan titah Yang di-Pertuan Agong dihormati dan dilaksanakan, serta kesal terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan pihak berkaitan menafikan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024.

“Yang memperuntukkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak menjalani hukuman penjara melalui tahanan dalam rumah (house arrest),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Tengku Razaleigh, Perlembagaan Umno melalui Fasal 3.3 jelas menggariskan bahawa asas perjuangan parti ialah mempertahankan kepentingan Raja-raja Melayu, bangsa Melayu, Bumiputera, Orang Asli, Anak Negeri Sabah, dan prinsip kontrak sosial. 

“Prinsip perjuangan Umno adalah rakyat dilindungi, Raja dijunjung, dan negara disanjung. Oleh itu, Umno Gua Musang menyatakan taat setia penuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, Umno Gua Musang kecewa dengan sikap Perdana Menteri serta Menteri Dalam Negeri yang menafikan kewujudan titah adendum tersebut di Parlimen dan menyifatkannya sebagai ‘hearsay’.

Namun menurutnya, keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Jan 2024 membuktikan titah itu benar-benar wujud. 

“Ini bermakna, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri telah memberi maklumat yang salah, tidak tepat di dalam Dewan Rakyat serta boleh disabitkan dengan kesalahan mengelirukan dan membohongi anggota Dewan,” tegasnya.

Tengku Razaleigh turut berkata, tindakan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim menyembunyikan titah tersebut, yang menurutnya adalah satu bentuk penderhakaan besar kepada Raja dan Negara. 

“Sebagai Perdana Menteri, beliau jelas terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan suatu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan menyembunyikan dokumen penting kerajaan dan menghalang keadilan (obstruction of justice) adalah satu jenayah yang memerlukan tindakan tegas terhadap mereka terlibat. 

Ulasnya lagi, walaupun Umno berada dalam Kerajaan Campuran, Umno Bahagian Gua Musang tetap berpegang kepada prinsip parti dan Perlembagaan Negara.

“Umno Bahagian Gua Musang tidak pernah sesekali untuk berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas membelakangi atau melanggar Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Perdana Menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kemelut ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/1/2025

- Advertisement -