
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menegaskan bahawa provokasi membabitkan perarakan membawa bendera China yang berlaku di Muar perlu ditangani dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, insiden sebegini bukanlah kali pertama berlaku dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu yang berpegang teguh kepada prinsip toleransi.
Bakri berkata, Melayu merupakan bangsa sangat bertoleransi yang membolehkan kaum lain hidup dengan harmoni di tengah-tengah masyarakat Melayu di Malaysia dan wilayah Nusantara seperti Riau, Kepri, dan Kalimantan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa kebebasan itu tidak seharusnya disalahgunakan dengan provokasi yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum di negara ini.
“Apakah orang Melayu akan hidup selesa di tengah-tengah kaum pendatang lain? Mereka boleh mengamalkan budaya dan agama mereka tanpa diganggu.
“Mengapa sejak akhir-akhir ini provokasi semakin menjadi-jadi terhadap kedaulatan Tanah Melayu ini? Bahkan bukan sekali bukan dua kali tetapi telah berkali-kali. Apakah motif mereka?” soalnya dalam media sosial.
Bakri juga menegaskan bahawa isu 3R (Raja, agama, dan kaum) sering dijadikan alat ugutan terhadap orang Melayu, Bumiputera, dan Islam, terutama apabila provokasi berlaku.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka menyifatkan tindakan itu sebagai satu ancaman terhadap kestabilan sosial dan keharmonian yang telah lama terjalin di Malaysia.
“Setiap kali berlakunya provokasi nanti yang salahnya tetap anak jati tanah ini. Sekonyong-konyong nantinya diakhiri dengan permintaan minta maaf dan selesai.
“Bak kata perpatah Melayu ‘Walaupun lukanya sembuh, tapi parutnya masih ada’,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap penganjur provokasi ini agar ia menjadi pengajaran dan tidak berulang.
Bakri menyatakan bahawa, jika dibiarkan berlarutan, ia boleh merosakkan hubungan antara kaum dan menjejaskan keamanan negara.
“Kita tidak mahu gara-gara setitik nila, rosak susu sebelanga. Gara-gara seorang dua berulah mengakibatkan berlakunya persengketaan kaum dan menjejaskan keharmonian kaum di negara tercinta ini. Dan jangan sampai nasi menjadi bubur,” tegasnya.
Ahli Parlimen itu turut mengkritik DAP yang sering berbicara mengenai keharmonian kaum serta mendakwa PAS sebagai parti sesat dan pemecah-belah.
“(DAP) mesti berada di garisan depan dalam menangani isu ini dan bukannya menikus serta membiarkan ianya berulang-ulang kali berlaku seolah-olah macam ada tangan ghaib di belakang semua insiden ini.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat bertindak tegas demi menjaga keharmonian dan kestabilan kaum di Malaysia,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 20/1/2025











