80 peserta Khatan Perdana DUN Chempaka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 80 kanak-kanak menyertai program Khatan Perdana anjuran DUN Chempaka yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini pagi semalam.

- Advertisement -

Program tahunan itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah.

Nik Bahrum ketika berucap merasmikan majlis itu menekankan galakan berkhatan bagi umat Islam yang berkait rapat dengan aspek kesucian.

Bukan itu sahaja, menurutnya ia menjadi penentu kesahihan ibadat, khususnya solat.

“Program ini bukan sahaja melaksanakan sunnah Rasulullah SAW, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat memahami hikmah di sebalik amalan berkhatan, termasuk manfaat dari segi kesihatan dan kebersihan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, berkhatan mampu mencegah penyakit tertentu, sekali gus memupuk nilai kebersihan yang penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Terdahulu majlis diserikan dengan tradisi menyuap pulut semangat kepada kanak-kanak yang menyertai majlis tersebut.

Ia telah menjadi satu adat turun-temurun yang bertujuan untuk memberi keberanian serta semangat sebelum proses berkhatan.

Nik Bahrum berkata, inisiatif sebegini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan sunnah, tetapi juga memupuk semangat komuniti melalui gotong-royong dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk petugas perubatan dan sukarelawan.

“Program Khatan Perdana ini adalah bukti komitmen kami menyediakan platform yang selesa dan selamat untuk masyarakat melaksanakan sunnah secara tersusun dan harmoni,” tambahnya.

Beliau memberitahu, kanak-kanak yang terlibat turut mendapat sokongan moral daripada keluarga dan rakan sebaya, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna dan positif. – HARAKAHDAILY 20/1/2025

- Advertisement -