
BALING: Pertandingan Kampung Sejahtera merupakan salah satu langkah untuk memupuk semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan penduduk bagi menjadikan kampung mereka lebih selamat, bersih, dan sejahtera.
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskininan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, di sini.
Menurutnya, pertandingan ini juga bertujuan untuk membangunkan komuniti setempat dalam aspek kebersihan, kesihatan, keselamatan, kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan sosial.
“Pertandingan Kampung Sejahtera ini juga bukanlah sekadar pertandingan biasa tetapi ia adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk menggalakkan pembangunan holistik kampung melalui aspek kebersihan, keselamatan, kemudahan awam, dan kesejahteraan sosial.
“Penyertaan anda semua membuktikan semangat untuk membangunkan kampung dan komuniti untuk lebih sejahtera dan kukuh. Tanpa penyertaan aktif dari anda semua, pertandingan ini tidak akan mencapai matlamatnya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada ucapan aluan Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), semalam.
Tegas Dato’ Ashah, pihaknya ingin melihat kampung-kampung di negeri ini bukan sahaja bersih dan teratur, sebaliknya menjadi tempat yang selamat serta sihat untuk didiami penduduknya.
Secara tidak langsung juga ujar beliau, melalui pertandingan ini, semua penduduk kampung dari pelbagai latar belakang dapat bersatu padu, bergotong-royong, dan bekerja keras untuk mencapai matlamat yang sama.
Sementara dari sudut lain tambahnya, memberi peluang kepada setiap kampung untuk menunjukkan inisiatif dan kreativiti masing-masing dalam menyelesaikan masalah setempat termasuk meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) atau ketua kampung di negeri ini untuk lebih cakna dan aktif dalam membantu menjaga kebajikan masyarakat kampung.
“Sebagai contoh yang boleh diambil adalah mengajak masyarakat kampung mengusahakan projek ekonomi yang boleh membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Projek-projek ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kewangan, tetapi juga dapat meningkatkan kemahiran dan keupayaan ekonomi penduduk setempat,” jelas beliau lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu juga berkata, ketua kampung juga perlu berperanan memastikan kejayaan pada pertandingan ini.
Malah ketua kampung juga tambahnya, adalah pemimpin yang menjadi penggerak utama dalam memastikan setiap aktiviti dilaksanakan dengan baik dan mendapat sokongan padu daripada para penduduk.
Semangat kepimpinan serta kerjasama yang ditunjukkan oleh Pengerusi MKK dan jawatankuasanya kata Dato’ Ashah, merupakan kunci kepada kejayaan pertandingan ini.
“Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan pertandingan ini, termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang menjadi penaja utama
“Tidak lupa juga kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) yang banyak membantu dan menjadi urusetia induk pada program kali ini,”katanya lagi.
Oleh itu, beliau mengharapkan kerjasama semua pihak untuk mencipta persekitaran yang kondusif, selamat, dan menyenangkan untuk semua golongan, sama ada kanak-kanak, warga emas, mahupun golongan kurang upaya.
“Pertandingan ini bukan sahaja tentang memenangi hadiah, tetapi lebih penting lagi adalah tentang pembelajaran, peningkatan, dan kerjasama dalam membangunkan kampung kita,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 17/1/2025











