Genosid paling kejam era moden tak akan dilupakan

- Advertisement -

GAZA: Ahli Biro Politik HAMAS, Khalil al-Hayya berikrar bahawa rakyat Palestin tidak akan melupakan kekejaman dilakukan oleh Israel, termasuk pembunuhan besar-besaran, justifikasi media, dan sokongan antarabangsa yang membolehkan kemusnahan kediaman mereka.

- Advertisement -

Menurut Al-Hayya, pendudukan Israel dan penyokongnya, dari perang genosid yang kejam hingga jenayah menyerupai kekejaman Nazi, akan kekal tersemat dalam ingatan rakyat kami dan dunia sebagai genosid paling kejam dalam era moden.

Beliau menambah bahawa keganasan, yang telah berlarutan selama 467 hari, akan kekal dalam ingatan kolektif rakyat Palestin dan masyarakat global.

Komen tersebut mencerminkan kemarahan yang mendalam dirasai oleh rakyat Palestin apabila berterusan menanggung kesan buruk serangan udara dan operasi darat Israel.

Semalam, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Mohammed Abdulrahman mengumumkan kejayaan pengantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.

Agensi Anadolu melaporkan dalam sidang media yang diadakan di Doha, Mohammed, berkata fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.

Mohammed turut memaklumkan bahawa Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran.

Menteri Qatar itu turut menyuarakan harapannya agar tiada operasi ketenteraan akan dijalankan dalam tempoh menjelang pelaksanaan perjanjian itu. – Middle East Eye / HARAKAHDAILY 17/1/2025

- Advertisement -