Bimbang negara akan dibawa untuk sujud kepada IMF

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan dasar Kerajaan Madani dalam menangani isu ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal mengemukakan penyelesaian kukuh bagi memulihkan ekonomi negara dan rakyat disifatkan kian terhimpit dengan kos sara hidup tinggi. 

Beliau berkata, pelbagai langkah seperti pemotongan subsidi dan kenaikan harga barangan asas antaranya gas dan bahan api hanya menambah beban rakyat, terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah. 

“Sebab saya lihat mereka sudah tak ada idea macam mana nak bangun ekonomi negara, dia orang cuba duit dah tak ada ni. Duit dah kurang. Hutang makin bertambah.

“So katanya saya dengar-dengarlah bukan kata nak menuduh rasa gaji untuk kakitangan kerajaan ni pun agak-agak sampai hujung tahun ni, tak tahulah. Agak risau jugalah kita bimbang dengan keadaan negara sekarang.

“Saya bimbang menuju negara ni dibawa menuju untuk sujud kepada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa). Ini yang kita bimbang,” katanya dalam Bicara HD bertajuk ‘Adakah NGO Melayu Masih Berbisa?!’ malam tadi.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa sekiranya Malaysia terpaksa mendapatkan bantuan IMF, perbelanjaan negara, termasuk untuk institusi Islam seperti masjid dan sekolah agama, mungkin akan dikawal ketat oleh badan antarabangsa itu.  

“Kita tak boleh nak buat apa-apa sangat. Ini saya tidak rasa tak akan berlaku dengan kita tengok keadaan sekarang memang ke arah itu. Ke arah itu saya sangat bimbanglah ni,” katanya menyuarakan kebimbangan. – HARAKAHDAILY 17/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -