
KUALA LUMPUR: Penyelaras Kebangsaan Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard membuat laporan polis berkaitan salah laku melibatkan pegawai tinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Chegubard berkata, beliau telah menerima dokumen pada 29 November 2024 yang menunjukkan beberapa pegawai tertinggi kementerian itu telah menghadiri perjalanan mewah ke England dan Perancis ditaja sepenuhnya syarikat swasta pada 24 hingga 30 November lalu.
“Saya telah membuat pendedahan di Facebook saya ‘Che GuBard’ dengan turut tag beberapa pihak termasuk KMM sendiri. Oleh kerana mereka tidak respon, maka hari ini saya tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan kebenaran.
“Berdasarkan dokumen yang diperolehi, syarikat yang menaja perjalanan mewah itu jelas merupakan syarikat yang ada urusan perniagaan dengan KKM,” katanya ketika sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Chegubard turut menyenaraikan nama-nama pegawai tinggi KKM yang terbabit dalam pendedahannya itu termasuk para pegawai kanan syarikat yang menaja perjalanan berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, turut melampirkan bukti dalam laporan tersebut, termasuk butiran tiket penerbangan, penginapan hotel, serta keratan berita.
Beliau berkata, keratan berita itu berkaitan kes-kes terdahulu yang melibatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa individu yang berbeza dalam situasi yang sama.
“Turut dilampirkan keratan laman sesawang Buletin TV3 bertarikh 21 Februari 2024, di mana dua pengurus syarikat teknologi maklumat (IT) sebuah bank telah ditahan oleh SPRM selepas disyaki menerima tiket dan penginapan di Bangkok bernilai RM3,000 dibayar oleh sebuah syarikat IT yang mempunyai urusan perniagaan IT dengan bank terbabit.
“Selain itu, keratan Metro pada 18 Januari 2024 pula melaporkan pegawai tertinggi Jabatan Laut Wilayah Utara antara empat yang ditahan SPRM apabila menerima tiket dan penginapan di Langkawi bernilai RM2,808 dibayar oleh syarikat yang ada urusan perniagaan dengan Jabatan Laut Wilayah Utara.
“Juga dilampirkan keratan dari Malaysia Gazette bertarikh 13 Februari 2017 melaporkan Bekas Yang di-Pertua Majlis Perbandaran bergelar Datuk ditahan dan direman kerana didapati keluar negara bercuti bersama-sama kontraktor yang terlibat berurusan dengan Majlis Perbandaran ketika beliau sebagai YDP.
“Persoalan kini, adakah dalam era regim penguasa hari ini telah menjadi halal Pegawai Kerajaan Ke Luar Negara dibiayai syarikat malah perjalanan mewah ke luar negara itu turut disertai pemilik syarikat tersebut bersama pegawai kerajaan,” katanya.
Terdahulu, dalam keratan Suara Keadilan pada Disember 2022, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan larangan syarikat swasta daripada menaja lawatan penjawat awam ke luar negara.
Hal itu bertujuan untuk mengelakkan konflik kepentingan dan memperkukuh integriti dalam pentadbiran awam, namun keputusan itu kini dipersoalkan apabila larangan tersebut tidak dilaksanakan dengan tegas.
Chegubard berkata, tindakan itu merupakan ‘kemunafikan’ dan ‘pembohongan’ oleh pihak berkuasa kerana amalan penajaan syarikat terhadap lawatan rasmi penjawat awam masih berlaku di beberapa kementerian.
“Untuk pengetahuan semua, pada 25 November 2024 saya telah membuat laporan SPRM berhubung tajaan syarikat lawatan Anwar Ibrahim ke luar negara dengan disertakan bukti, namun sehingga kini SPRM membisu,” katanya.
Selain itu, Chegubard turut melampirkan satu lagi isu bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran telah didapati bersalah kerana perjalanan ke luar negara dibayar oleh syarikat swasta pada 25 September 2024.
“S Iswaran didapati bersalah dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu undang-undang yang sama seperti Malaysia, cuma bezanya Singapura melaksana ‘rule of law’ namun di Malaysia seolah ‘law of the jungle’,” katanya.
Justeru, beliau meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat dan mendakwa kepada individu yang terbabit dalam kesalahan itu.
Tambah beliau, menyerahkan kes ini kepada SPRM tidak akan membawa hasil memandangkan badan tersebut gagal menjalankan tugas dengan telus. – HARAKAHDAILY 17/1/2025











