
KUALA LUMPUR: Gejala lelaki mempunyai hubungan seksual dengan lelaki (MSM) dalam kalangan generasi muda terutamanya pelajar sekolah dan mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dilaporkan semakin berleluasa.
Naib Ketua Pemuda PAS, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, pendedahan kes remaja lelaki terlibat hubungan sesama jenis sehingga membawa kepada penyakit serius mencerminkan cabaran besar perlu ditangani semua pihak.
“Hal ini menyentuh soal keterikatan dengan agama yang semakin longgar dan nilai moral yang semakin terhakis dalam kalangan generasi muda,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu, beliau turut memetik unjuran Asian Epidemic Modelling (AEM), populasi MSM dijangka menjadi kelompok utama yang terkesan dengan HIV di Malaysia menjelang tahun 2030.
Peralihan itu menurutnya, menunjukkan bahawa MSM bakal menggantikan penggunaan dadah suntikan (PWID) sebagai penyumbang utama kepada penularan HIV di negara ini.
Muhammad Hanif juga memetik Global AIDS Monitoring 2024 yang melaporkan 44 peratus penghidap HIV adalah dalam kalangan golongan berusia 20-29 tahun, manakala 31 peratus pula terdiri daripada mereka berusia 30-39 tahun.
Data itu jelasnya merangkumi semua faktor penularan, sama ada melalui MSM, PWID, atau mod lain, serta menunjukkan betapa seriusnya wabak itu dalam kalangan golongan muda.
“Justeru, Pemuda PAS Malaysia menggesa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan pantas dan tegas bagi membendung gejala MSM dalam kalangan generasi muda.
“Usaha bersama daripada semua pihak juga amat penting untuk memastikan generasi muda dilindungi daripada ancaman gejala songsang ini yang akan merosakkan agama, moral dan masa depan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/1/2025











