Kerjasama komuniti berjaya kurangkan 410 tan sampah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berjaya mengurangkan pembuangan sampah sebanyak 410 tan ke tapak pelupusan sampah menerusi pelaksanaan Program Komuniti Amalan Hijau (PKAH) diperkenalkan tiga tahun lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, PKAH bertujuan mendidik masyarakat mengamalkan kehidupan lestari dan penjagaan alam sekitar.

Beliau berkata, sejak dilaksanakan sebanyak 55 komuniti terdiri dari institusi pendidikan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan masjid menyertai program yang berkonsepkan ekonomi kitaran itu.

“Impak dari program ini adalah ianya telah dapat mengurangkan pembuangan sampah sebanyak 410 tan ke tapak pelupusan sampah dan berjaya menjana pendapatan sampingan kepada penduduk dan masyarakat.

“Melalui program ini juga ada diadakan program pakaian terpakai di sekolah seperti dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 2 dan SK Kedai Piah bantu mangsa banjir bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih tahun 2024 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Kompleks Kota Darulnaim, di sini petang semalam.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan itu dihadiri oleh semua kepimpinan kerajaan negeri termasuk wakil rakyat DUN dan Dewan Rakyat di Kelantan.

ADUN Guchil itu berkata, beliau turut menaruh harapan pada tahun ini agar mendapat sambutan lebih ramai menyertai program yang mengasingkan sisa pepejal boleh dikitar semula.

Beliau berkata, hasrat tersebut merupakan matlamat bagi mencapai agenda Merakyat Kelantanku Bersih membabitkan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang ramai dalam menjaga kebersihan negeri.

Sebelum ini kerajaan negeri melalui Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) melaksanakan program komuniti tersebut bagi membangunkan teknologi hijau selain penjagaan kelestarian alam sekitar.

Malah PKAH turut membabitkan kerjasama strategik seperti Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

PKAH juga mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) diterajui Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini bagi merancakkan lagi kesedaran dalam kalangan komuniti. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

- Advertisement -