
KOTA BHARU: Kerajaan dilihat tidak teragak-agak untuk melakukan siri pembohongan kepada rakyat selepas Titah Adendum terhadap mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan juga tidak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melaksanakan titah daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu.
“Kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya? Kalau Titah Adendum yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong mereka boleh sembunyikan, maka apalah sangat mereka nak sembunyikan kepentingan-kepentingan rakyat biasa.
“Besar nama Yang di-Pertuan Agong ini, tiba-tiba kerajaan boleh sembunyikan satu titah. Maka kerajaan yang sama ini kita yakin tidak teragak-agak untuk berbohong, menipu, khianat, tidak amanah dalam isu yang melibatkan rakyat jelata,” bidasnya.
Beliau berkata demikian dalam siri Ceramah Isu Semasa ‘Isu Adendum, Madani Derhaka’ anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu di Dewan Gelanggang Seni, di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud; Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Nor Azariza Mohd Alawi; Pengarah Pilihan Raya PAS Kota Bharu, Shaari Mat Yaman dan Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Abdul Malik Abdul Karim.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, perkara itu menyebabkan pihaknya mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) untuk segera meletakkan jawatan.
“Sebab itu kita desak dia (Anwar) letak jawatan. Kita desak letak jawatan. Saya buat kenyataan menuntut supaya PMX ini letak jawatan. Tiada masalah, alihkan huruf sahaja. PMX, X pindah pergi depan jadi ‘X-PM’,” sinisnya. – HARAKAHDAILY 10/1/2025











