
KOTA BHARU: Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mencipta ‘sejarah’ sebagai kerajaan pertama yang menidakkan perintah Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, hal ini berikutan tindakan tidak melaksanakan Titah Adendum terhadap mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
“Dalam tempoh setahun ini, mereka sembunyikan (Titah Adendum). Bukan main lagi menafikan semua kata-kata dan menyerang wakil-wakil rakyat kita di parlimen kerana mahu sembunyikan. Ini derhaka level mana ini?
“Tiada sejarah sebuah kerajaan, Perdana Menteri dan menteri tergamak menidakkan perintah seorang Raja di sisi Perlembagaan. Ini berlaku pada zaman Madani,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam siri ‘Ceramah Isu Semasa: Isu Adendum, Madani Derhaka’ anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu di Dewan Gelanggang Seni, di sini malam tadi.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari; Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Nor Azariza Mohd Alawi; Pengarah Pilihan Raya PAS Kota Bharu, Shaari Mat Yaman dan Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Abdul Malik Abdul Karim.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, tindakan PAS bersolidariti bersama Najib pada 6 Januari lalu adalah untuk menjunjung Perlembagaan dan titah berkenaan.
“Kita pergi ke Putrajaya bersolidariti dengan Dato’ Sri Najib bukan soal jenayah beliau yang telah disabitkan oleh mahkamah. Kita bukan nak menghapuskan kesilapan beliau. Tetapi ini adalah titah diraja.
“Bila mana beliau diberikan hak di sisi Perlembagaan oleh kuasa Yang di-Pertuan Agong, kalau ada orang nak menafikan Perlembagaan dan kuasa ini.
“Kita kena bangun mempertahankan kerana di situ berlakunya kezaliman dan penganiayaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2025











