Pemuda PAS lapor salah guna kuasa Anwar, Saifuddin

Sembunyi Titah Adendum

- Advertisement -

GOMBAK: Dewan Pemuda PAS Gombak membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung kenyataan Perintah Adendum Dato’ Sri Najib Razak sebagai khabar angin.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak, Mohamad Suffi Kamari berkata, tindakan Saifuddin dan kerajaan sengaja menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong juga adalah penderhakaan kepada institusi tertinggi dalam negara.

“Saya mengikuti laporan perbicaraan membabitkan permohonan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak untuk mengesahkan kewujudan Perintah Adendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Saya telah mendapat salinan surat dari Istana Pahang melalui laman media massa yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum oleh baginda supaya Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

“Tindakan kerajaan yang diketuai Perdana Menteri mempunyai semua cara untuk mengesahkan titah ini tetapi memilih untuk berdiam dan tidak melaksanakan titah itu adalah satu kesalahan salah guna kuasa.

“Saya memohon satu siasatan dilakukan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Saifuddin serta pihak yang terlibat dalam penyembunyian Titah Adendum ini.

“(Iaitu) atas kesalahan menderhaka atau membawa mana-mana peruntukan undang-undang lain dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada HarakahDaily.

Mahkamah Rayuan pada Isnin memberi kebenaran kepada Najib bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu. – HARAKAHDAILY 7/1/2025

- Advertisement -