
KANGAR: Kejujuran dan keikhlasan adalah dua sifat terpuji yang menjadi asas kepada keberkatan hidup dan kemenangan umat Islam, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.
Beliau mengupas secara mendalam hikmah dua nilai ini tersebut yang dikaitkannya kepada konsep keberkatan sebagaimana doa sering diucapkan pada bulan-bulan mulia.
Jelasnya, keberkatan adalah sesuatu yang mampu mengubah keadaan seseorang, bahkan sebuah masyarakat, apabila kejujuran dan keikhlasan menjadi prinsip utama dalam kehidupan.
Tuan Guru menceritakan kisah menarik seorang lelaki miskin di zaman Khalifah Umar Al-Khattab yang menunjukkan kejujuran luar biasa apabila menemukan harta bernilai di medan perang.
“Dia tidak menyimpan walau sebutir harta itu untuk dirinya sendiri. Sebaliknya, dia menyerahkannya kepada ketua tentera, yang kemudian membawa harta itu kepada Saidina Umar.
“Inilah contoh kejujuran yang membawa keberkatan,” katanya menjelaskan lelaki itu memahami bahawa amanah lebih penting daripada kepentingan diri.
“Sikap seperti inilah yang menjadikan umat Islam ketika itu kuat, sekalipun berdepan dengan musuh yang jauh lebih ramai.
“Di medan perang, kemenangan bukan hanya ditentukan oleh kekuatan pedang. Ia turut bergantung kepada hati yang tulus dan jiwa yang amanah,” terang beliau.
Tuan Guru Dato’ Hashim mengingatkan, kisah seperti ini membuktikan bagaimana keberkatan hasil daripada kejujuran dan keikhlasan mampu membawa perubahan besar.
Beliau mengimbau kembali kejayaan umat Islam yang hanya memiliki kekuatan 30,000 tentera dalam peperangan melawan 300,000 tentera Rom.
Walaupun secara logik, jumlah tentera Islam jauh lebih kecil, kemenangan berpihak kepada mereka kerana keikhlasan dan kejujuran yang ada dalam hati setiap pejuang.
“Saidina Umar sangat menyedari hal ini. Dia memahami bahawa rahsia kejayaan umat Islam terletak pada hati yang ikhlas. Satu keberkatan yang dimiliki oleh seorang lelaki miskin itu cukup untuk memberi sinar kepada ribuan orang lain,” ujarnya lagi.
Keberkatan inilah menurutnya, yang menjadikan umat Islam berjaya bukan sahaja di medan perang, tetapi juga dalam kehidupan harian mereka.
Menghadirkan pertolongan Allah
Selain kejujuran, Tuan Guru Dato’ Hashim turut menekankan peranan keikhlasan dalam membawa rahmat Allah.
Beliau berkata, keikhlasan seorang hamba Allah bukan sahaja membawa rahmat kepada dirinya, tetapi turut mempengaruhi keseluruhan masyarakat.
“Keikhlasan adalah punca keberkatan. Tanpa keikhlasan, segala usaha kita akan kehilangan makna.
“Keikhlasan pula hanya akan hadir apabila seseorang benar-benar yakin kepada Allah dan menjadikan-Nya sebagai matlamat utama dalam setiap tindakan,” katanya.
Beliau menyeru agar umat Islam sentiasa memperbaiki niat dan menanamkan keikhlasan dalam setiap aspek kehidupan, sama ada dalam pekerjaan, perhubungan, atau ibadah.
“Keikhlasan adalah kekuatan yang tidak dapat dilihat, tetapi kesannya sangat besar. Ia mampu mengubah perkara yang kecil menjadi besar, perkara yang lemah menjadi kuat,” tambah beliau.
Dalam konteks semasa, Tuan Guru Hashim mengingatkan bahawa nilai kejujuran dan keikhlasan perlu dipupuk dalam masyarakat, terutama ketika dunia hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran moral.
“Kejujuran adalah asas kepada amanah. Jika amanah diabaikan, maka runtuhlah institusi masyarakat. Begitu juga dengan keikhlasan.
“Tanpa keikhlasan, segala usaha akan kehilangan keberkatan, dan ini akan membawa kepada kegagalan,” jelas beliau.
Beliau turut menyentuh peranan pemimpin dalam memupuk nilai-nilai ini iaitu perlu menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan kejujuran dan keikhlasan, kerana tindakan mereka akan memberi kesan kepada rakyat.
“Pemimpin yang jujur dan ikhlas akan membawa keberkatan kepada rakyatnya. Sebaliknya, pemimpin yang mementingkan diri sendiri akan membawa kebinasaan,” tegas beliau.
Nilai kejujuran dan keikhlasan bukan sahaja menjadi asas kepada keberkatan, tetapi juga punca kepada kejayaan umat Islam, sama ada di masa lalu atau masa kini. – HARAKAHDAILY 7/1/2025











