SPM: Hanya tiga peratus calon SPM YIK tidak hadir

Dato' Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Hanya tiga peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang tidak hadir peperiksaan sejak peperiksaan itu mula diadakan baru-baru ini.

- Advertisement -

Calon yang tidak hadir pada peperiksaan itu disebabkan beberapa factor, antaranya berhenti sekolah, meninggal dunia, atau menghadapi masalah disiplin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, melahirkan rasa syukur memandangkan peratus ketidakhadiran calon SPM begitu kecil.

Katanya, persiapan YIK dan pihak sekolah telah melakukan sesuatu yang terbaik bagi memastikan calon SPM tahun ini hadir untuk menghadapi kertas peperiksaan.

“Alhamdulillah, semua calon berada dalam keadaan baik dan langkah berjaga-jaga juga telah diambil untuk memastikan kelancaran sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Sebagai langkah awal juga, YIK telah menghubungi sekolah-sekolah yang terkesan akibat banjir dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini bagi mengulas peratus kehadiran calon SPM di bawah seliaan YIK.

Dua hari lepas media melaporkan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya masih dalam proses mengemas kini memandangkan terdapat kira-kira 10,000 calon yang belum mengesahkan kehadiran SPM 2024.

ADUN Pengkalan Kubor itu turut memberitahu, bagi calon SPM dari Maahad Muhammadi Rantau Panjang, mereka telah ditempatkan di sebuah sekolah berdekatan bagi mengelakkan kesukaran menghadiri peperiksaan sekiranya banjir kembali melanda kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan para pelajar agar memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi SPM sambil memperbanyakkan doa memohon pertolongan Allah agar dipermudahkan segala urusan.

“Kita berharap semua pelajar diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT untuk menghadapi peperiksaan ini dengan tenang dan dipermudahkan segala urusan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 6/1/2025

- Advertisement -