
KUALA TERENGGANU: Terengganu menerima kehadiran pelancong sekitar lima juta setahun tetapi kenapa bilangan penerbangan sedikit.
Justeru, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, ‘abang-abang’ teksi atau kereta sewa di lapangan terbang Kota Bharu boleh menjawab soalan itu.
Menurutnya, majoriti pelancong asing yang hendak ke Pulau Perhentian atau Pulau Redang menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa sebagai pintu masuk kerana jaraknya lebih dekat.
Katanya, LTSIP menerima limpahan daripada kehadiran pelancong asing yang hendak menuju ke pulau-pulau di Terengganu.
Tambahnya, kedudukan geografi Terengganu agak unik.
“Ia mudah difahami bila kita pergi sebelah Besut dan Setiu. Didapati banyak motor atau kereta guna plat D (Kelantan).
“Kalau sebelah Kemaman banyak kenderaan guna nombor plat C (Pahang),” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman sosialnya.
Tambahnya, suatu ketika dahulu masa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya ada di ibu negeri, menjadikan orang Besut dan Setiu ramai yang membeli kenderaan dan mendaftar di Kelantan.
Beliau berkata, penduduk di Kemaman pula berurusan di Pahang kerana faktornya ialah jarak yang lebih dekat.
“Orang Besut juga ramai IC (kad pengenalan) nombor 03 (Kelantan). Bukan mereka menetap di Kelantan tapi kerana antara hospital rujukan bagi Hospital Besut ialah HUSM Kubang Kerian dan Hospital Kota Bharu,” ujarnya.
Begitu juga, katanya dengan jumlah penerbangan.
“Saya sendiri yang duduk di Besut lebih mudah naik flight dari Airport Kota Bharu kerana ia lebih dekat. Orang Kemaman dan Dungun yang nak ke KL, mereka lebih selesa dengan jalan darat.
“Kalau nak mari ke Kuala Terengganu sejam lebih perjalanan,” tambahnya yang juga ADUN Jabi. – HARAKAHDAILY 6/1/2025











