
ARAU: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah mempersoalkan kerajaan semasa yang dilihat melanggar janji memberi kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun.
Beliau membandingkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dengan pendirian ketika menjadi pembangkang dahulu.
“Dulu Anwar pesan polis jangan jadi perkakas politik, tapi sekarang apa yang dikecam dulu terjadi pada zaman dia.
“Apa salah rakyat nak berhimpun? Dulu dia boleh kerah rakyat berhimpun untuk dirinya, kenapa tak boleh benarkan rakyat berhimpun untuk Datuk Seri Najib?” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Karnival Arau Sejahtera, malam tadi.
Menurut Mohd Amar, PAS turut hadir dalam perhimpunan tersebut sebagai tanda sokongan.
“Orang PAS semua akan hadir, insya-Allah. Apa masalahnya? Takut sangatkah kepada kuasa rakyat?” tambahnya.
Mengulas isu referendum berkaitan adendum, Mohd Amar mengkritik kerajaan kerana dilihat berdolak-dalik dan tidak memberi jawapan jelas.
“Soalan ditanya di Parlimen dan di luar, tiada jawapan yang kukuh. Kalau ada, jawab ada. Kalau tak ada, jawab tak ada,” ujarnya yang juga Speaker DUN Kelantan.
Beliau turut menyelar Umno yang dianggap lemah dalam mempertahankan pemimpin mereka sendiri.
“Umno pun sama, cakap besar saja. Takut kepada DAP. Bekas pemimpin mereka pun tak dibela kerana DAP tak setuju. Akhirnya mereka tarik brek. Buat malu saja,” katanya.
Mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau yakin PAS akan kekal di empat negeri sedia ada serta berkembang ke negeri-negeri lain.
“Seluruh Malaysia antaranya Pahang, Selangor, dan Perak itu antara negeri tumpuan kita insya-Allah,” katanya lagi.
PAS, katanya, kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan mana-mana pihak yang sehaluan dengan prinsip PN demi kebaikan negara.
“Siapa pun boleh bersama kita asalkan setuju dengan Perikatan Nasional,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 6/1/2025











