PAS teruskan himpunan solidariti Najib 6 Januari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan bahawa parti itu tidak akan menarik balik seruan kepada ahli-ahli parti untuk hadir secara aman pada himpunan solidariti ke atas bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak, pada Isnin depan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, seruan itu tetap kekal pada hari, masa, dan tempat telah dinyatakan, sebagai satu manifestasi sokongan kepada Najib dan untuk mempertahankan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. 

Beliau menegaskan komitmen PAS untuk mempertahankan kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, kuasa prerogatif itu memberikan kuasa kepada Baginda untuk memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

PAS jelasnya, turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan undang-undang melalui Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam pada itu, PAS juga mendapati kehadiran ke himpunan solidariti itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan penjalanan Lembaga Pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Himpunan aman sebagai solidariti

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan bahawa himpunan solidariti yang diadakan di mahkamah terbuka bertujuan untuk menunjukkan sokongan rakyat pelbagai kaum dan fahaman kepada Dato’ Sri Najib Razak, dalam usahanya mendapatkan hak, keadilan, dan perlindungan di bawah undang-undang.

“Seperti yang dibayangkan oleh tema himpunan itu sendiri, ia adalah berupa kehadiran secara aman rakyat jelata rentas kaum dan fahaman ke suatu tempat awam iaitu mahkamah terbuka (open court) sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan pada saat-saat penentuan di mahkamah.

“(Ia adalah) dalam usaha beliau mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan terbaik bawah undang-undang atas kepercayaan bahawa kuasa prerogatif yang sama telah memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman yang dijalaninya, iaitu melalui dokumen yang dikenali sebagai ‘Titah Adendum’,” jelasnya.

Isu ‘Titah Adendum’ yang dikhianati

Datuk Seri Takiyuddin juga mengungkapkan kebimbangan PAS berhubung dakwaan bahawa dokumen yang dikenali sebagai ‘Titah Adendum’, yang terhasil daripada kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, kelihatan dikhianati dan disembunyikan oleh pihak-pihak berkuasa.

Dakwaan itu katanya, menafikan hak dan kelonggaran yang sepatutnya diberikan kepada Dato’ Sri Najib yang akhirnya terpaksa memohon semakan kehakiman di mahkamah untuk mengesahkan kewujudan dokumen tersebut dan agar kerajaan mengambil tindakan lanjut selaras dengan titah tersebut.

“Justeru himpunan solidariti ini tidak lain melainkan bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada manipulasi dan ketidaktelusan,

“Selain menyokong semua usaha sah Dato’ Sri Najib untuk mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -