
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyeru umat Islam untuk merenungi hikmah kehidupan dan mempersiapkan diri menghadapi kematian dengan bekalan iman, amal soleh, dan kebajikan.
Beliau menegaskan bahawa melalui Surah Yunus, ciptaan Allah di langit dan bumi menjadi tanda kebesaran-Nya yang mengajak manusia mengenal dan mendekati-Nya.
“Dengan melihat bintang-bintang di langit, gunung-ganang, dan lautan yang terbentang, kita diajak untuk berfikir dan memahami bahawa semua ini adalah manifestasi kuasa-Nya yang tiada tandingan.
“Allah memerintahkan manusia untuk melihat dan berfikir, agar sampai kepada hakikat, iaitu mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Hakikat ini ibarat hubungan suami isteri yang saling mengenali tanpa rahsia,” ujarnya dalam media sosial miliknya hari ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu berkata, dalam Surah Al-Mu’minun, Allah menegaskan bahawa setiap manusia akan menemui kematian, dan tempoh hidup setiap individu berbeza-beza.
“Ada yang tidak sihat tetapi diberi umur panjang, ada pula yang sihat tetapi meninggal pada usia muda. Panjang atau pendeknya usia seseorang, semuanya mempunyai hikmah.
“Allah memberi kehidupan yang panjang kepada sebahagian manusia agar mereka diberi peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri.
“Kadang-kadang Allah memberi ujian berupa penyakit yang lama sebagai peluang untuk menyucikan dosa,” katanya.
Menurutnya, manusia sering alpa terhadap dosa-dosa yang dilakukan, namun melalui penyakit, Allah memberi ruang untuk memperbaiki hubungan dengan-Nya, dan apabila seseorang meninggal dunia dalam keadaan bersih daripada dosa, ia adalah tanda rahmat-Nya.
Mohd Amar menambah, penyakit yang diberikan di dunia adalah satu bentuk hukuman ringan berbanding hukuman akhirat, sebagai rahmat untuk membolehkan manusia kembali kepada Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.
Beliau turut menyentuh bahawa ujian tidak hanya menimpa individu yang sakit, tetapi juga ahli keluarga yang menjaga mereka.
“Contohnya, apabila ibu atau bapa sakit, Allah menguji sejauh mana anak-anak sanggup berbakti dan menjaga mereka. Ujian ini juga menjadi ukuran sama ada anak itu benar-benar bersyukur dan menghargai jasa ibu bapa mereka,” ujarnya.
Ketika menghadapi ujian, Dato’ Mohd Amar menasihatkan agar memperbanyakkan istighfar dan bersabar.
Beliau berkata, kesabaran membawa banyak kebaikan, termasuk pahala besar seperti menjaga ibu bapa yang sakit, yang mungkin lebih besar daripada menghadiri majlis ilmu.
“Namun, Nabi Muhammad SAW pernah menegur seorang sahabat yang berdoa meminta kesabaran, kerana itu seolah-olah meminta bala.
“Kesabaran hanya wujud apabila seseorang menghadapi ujian. Sebaliknya, Nabi mengajarkan agar kita meminta kebaikan di dunia dan di akhirat serta memohon kemudahan dalam kehidupan,” katanya.
Mohd Amar juga menegaskan bahawa kematian adalah penamat kehidupan dunia yang sementara.
Oleh itu katanya, ulama mengingatkan setiap umat Islam perlu bersiap menghadapi saat itu dengan menyediakan bekalan berupa iman, amal soleh, dan kebajikan.
“Umur yang meningkat adalah tanda bahawa waktu semakin hampir. Oleh itu, gunakanlah masa yang ada untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki diri sebelum tiba saat kematian,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2025











