Terengganu cekik rakyat dengan kenaikan cukai?

- Advertisement -

Cukai apa yang naik?

- Advertisement -

Hakikatnya kerajaan negeri telah memberikan pengecualian cukai pintu rumah kediaman kepada semua rakyat sejak tahun 2018 lagi.

Di Besut sahaja kerajaan negeri kehilangan hasil hampir RM8 juta setahun dengan pengecualian cukai pintu ini.

Kekurangan hasil PBT dengan sebab pengecualian ini diganti balik oleh kerajaan negeri.

Cukai tanah naik?

Cukai tanah tak ada kenaikan. Masih kekal dengan kadar lama.

Beberapa kenaikan yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2025 ialah bayaran pejabat (office fee) untuk beberapa urusan tanah yang bukan menjadi rutin tahunan rakyat. Cukai tanah yang dibayar setiap tahun tak naik.

Mesti bezakan antara Bayaran Pejabat dan Cukai Tanah. Kadar bayaran tahunan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) juga tak naik.

Di sebuah kedai kopi, topik ini jadi perbincangan. Saya tanya, apa contoh bayaran yang naik? Disebut bayaran untuk Carian Rasmi Hak Miliki Tanah. Saya tanya lagi, bila akhir sekali orang dalam kedai ini ambil Carian Rasmi dari Pejabat Tanah? Jawapannya, tak pernah ada sorang pun yang pernah ambil Carian Rasmi. Jawab sorang dari mereka, nak ambik wat gapo. Tak dok keperluan pun nak ambil.

Apa lagi contoh yang naik?

Urusan pindah milik tanah. Dulu RM50 sekarang RM140. Ada kenaikan tapi bukan urusan tahunan kita berkaitan tanah. Apakah kita pindah milik tanah setiap tahun? Mungkin sekali seumur hidup kita pindah milik tanah.

Yang kita bayar setiap tahun ialah cukai tanah atau bayaran Lesen Pendudukan Sementara. Kedua-duanya tiada kenaikan.

Apa lagi yang naik?

Kaveat tanah. Kaveat maknanya kita masukkan sekatan kepentingan atas tanah seperti contoh untuk mengelakkan ia dipindah milik. Dulu RM60 sekarang RM150. Berapa ramai dari kita yang berurusan untuk masukkan kaveat tanah?

Apa lagi yang naik?

Bayaran untuk Tambah Pemegang Amanah. Dulu RM20 sekarang RM80. Urusan tanah tertentu sahaja yang memerlukan pemegang amanah. Contohnya penerima tanah pusaka belum cukup umur.

Beberapa contoh yang saya kemukakan di atas ialah sebagai penjelasan bahawa memang ada kenaikan selepas hampir 30 tahun tiada kenaikan berlaku. Tapi kerajaan negeri menekankan supaya dalam kajian untuk perubahan kadar, fokus utama ialah jangan bebankan rakyat umum dengan kenaikan dalam perkara-perkara yang menjadi urusan rutin tahunan mereka.

Walau ada kenaikan, tapi hakikatnya kadar Bayaran Pejabat bagi urusan tanah di Terengganu masih antara yang paling rendah di Malaysia. – HARAKAHDAILY 3/1/2025

Dr. Azman Ibrahim ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu yang juga ADUN Jabi.

- Advertisement -