Rakyat Malaysia diseru ke solidariti bersama Najib

Pada pagi Isnin, 6 Januari di Istana Kehakiman, Putrajaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang termasuk badan bukan kerajaan (NGO) diseru turut serta dalam Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan yang akan dilaksanakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, 6 Januari (Isnin) akan menjadi titik pertanyaan besar-besaran rakyat Malaysia yang prihatin terhadap keabsahan wujud atau tidak Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Solidariti aman ini bertujuan untuk menegakkan prinsip keadilan, integriti, dan ketelusan dalam urusan negara. Ia telah mengundang pertikaian mengenai keabsahan serta kesahan dalam konteks undang-undang negara.

“Isu ini melibatkan integriti institusi lembaga pengampunan dan kehakiman yang seharusnya bebas, adil, dan tidak terikat kepada mana-mana pihak,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, solidariti ini bukan sahaja untuk mendapat keabsahan wujud Titah Adendum yang didakwa, tetapi juga untuk menuntut agar kerajaan memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia mengenai perkara tersebut.

Tegas Mohd Zai, terutama kerana isu tersebut adalah melibatkan integriti kerajaan, lembaga pengampunan dan institusi kehakiman dan UMMAH percaya bahawa transparensi adalah asas penting dalam sistem pemerintahan yang demokratik.

Oleh itu, setiap tindakan kerajaan seharusnya dapat dipertanggungjawabkan kepada rakyat yang memilih untuk memegang amanah dan kuasa.

“Rakyat berhak mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku dalam urusan pentadbiran negara, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keputusan-keputusan yang besar dan penting untuk masa depan negara,” ujarnya.

Mohd Zai berkata, UMMAH menyeru semua rakyat Malaysia untuk hadir secara aman tanda perihatin kepada sistem ketelusan pentadbiran kerajaan.

Di samping itu, UMMAH juga menurutnya, ingin menegaskan bahawa ini adalah seruan untuk keadilan bersama, bukan hanya untuk mana-mana individu atau golongan.

Solidariti ini juga merupakan simbol penyatuan rakyat Malaysia yang cintakan negara, dan mahukan perubahan yang lebih adil, telus, dan bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 3/1/2025

- Advertisement -