
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menegaskan bahawa tuduhan pemimpin DAP, Nga Kor Ming adalah merupakan tuduhan yang tidak berasas dan tidak boleh diterima sama sekali.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, berkata antara tuduhan yang dilemparkan oleh Nga ialah PAS didakwa ‘sesat’, ‘menyebar ajaran sesat’, dan ‘perlu bertaubat’.
Nuridah mempersoalkan bagaimana seorang Ahli Parlimen bukan Muslim boleh membuat kenyataan dengan berhujah mengenai agama Islam.
“PAS menyatakan bahawa kehadiran umat Islam dalam majlis sambutan Krismas anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah tidak dibolehkan dalam Islam dan ia adalah perkara yang boleh menjejaskan akidah (iman) dalam Islam.
“PAS juga menggesa semua pihak agar berhati-hati dan cermat dalam perkara ini kerana ia melibatkan batas-batas iman dan kufur dan melanggar sempadan agama yang telah ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Perkara itu menurutnya adalah merujuk garis panduan hukum orang Islam menyertai acara ‘Chrismas Carolling’ dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, isu PAS menghalang penganut agama Kristian merayakan perayaan agama mereka seharusnya tidak timbul, malah PAS turut mengucapkan selamat bercuti kepada penganut agama Kristian.
Nuridah menggesa Nga Kor Ming meminta maaf kerana beliau bersalah dalam perkara itu, bukan sebaliknya menuding jari kepada pihak yang menegur beliau.
Sudah ternyata jelasnya, Nga melanggar sempadan beragama yang selama ini dipegang oleh semua kaum di Malaysia.
“Umat Islam adalah umat yang sangat menghormati agama lain. Seperti mana umat Islam di negeri yang diperintah PAS, perayaan agama lain yang dibenarkan disambut di seluruh negeri tanpa masalah dan tanpa rungutan oleh umat Islam.
“Dewan Muslimat juga berharap Nga Kor Ming mahupun mana-mana Yang Berhormat menghormati garis panduan beragama bagi orang Islam.
“Keharmonian kaum mesti dikekalkan namun ia bukan bermakna had beragama umat Islam boleh dilanggar,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2025











