
SUNGAI BULOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dato’ Dr Abd Halim Tamuri turun padang bagi meninjau keadaan jalan yang rosak di kawasan berkenaan akibat projek penggantian paip oleh Air Selangor.
Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, tinjauan itu diadakan di Jalan FT54 selepas mendapat aduan daripada penduduk dan pengguna jalan raya berkenaan yang rosak di kawasan tersebut.
“Hari ini, saya bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling, Air Selangor dan syarikat kontraktor telah turun membuat pemantauan di Jalan FT54 yang terlibat dalam projek penggantian paip berdekatan dengan Kolej Vokasional Sungai Buloh sehingga persimpangan Honda Sungai Pelong.
“Pihak kontraktor Air Selangor telah menurap sementara jalan-jalan yang berlubang tersebut, dan memaklumkan kerja penggantian paip ini akan dihentikan sementara bermula hari ini selama dua hingga tiga hari.
“Ini bagi menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja pembaikpulihan dan penurapan sementara semula di kawasan jalan yang rosak, berlubang dan tidak rata ini,” katanya.
Tambahnya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, beliau akan sentiasa membuat tinjauan bagi memastikan kawasan dan penduduk di kawasan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.
“Saya dan pasukan pusat khidmat akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan khususnya penduduk setempat terjamin keselamatan.
“Diharapkan juga kepada para pengguna jalan sentiasa berhati-hati apabila menggunakan jalan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2025











