
KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud meminta rakyat agar mementingkan tiga perkara dalam menyambut ketibaan tahun baru masihi dan hijri.
Beliau menukilkan pengajaran dari ayat 18 surah al-Hasyar menjelaskan maksudnya iaitu beriltizam dengan takwa, bermuhasabah terhadap amalan dan mengutamakan kehidupan akhirat.
Menurutnya, beliau menekankan kepentingan melaksanakan ketiga-tiga elemen tersebut dalam semua aspek kehidupan rakyat, sama ada individu, pekerja mahupun dalam konteks pemerintahan.
“Kita beriltizam dengan takwa bermaksud meningkatkan kepatuhan kepada perintah tuhan serta menjauhkan diri larangan, muhasabah pula menilai amalan dan perbuatan agar selari syariat.
“Sementara itu, mengutamakan kehidupan akhirat untuk mengingatkan kita bahawa dunia hanyalah persinggahan untuk bersiap sedia menuju kehidupan kekal abadi akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dan amanat sempena Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 di Pasaraya Mydin, Bandar Baru Tunjong, di sini malam tadi.
Majlis anjuran agensi kerajaan negeri, Urus Setia Belia dan Sukan (UBES) itu, bertemakan anak muda berselawat serta diserikan dengan program kerohanian sebagai pengisian.


Program bermula solat Maghrib dan Isyak berjemaah, disusuli kuliah Maghrib Ustaz Harryanto Rizal Rokman, bacaan ayat suci al-Quran, selawat diakhiri tazkirah Ustaz Wadi Annuar Ayub.
Amanat tahun baharu disampaikan oleh Menteri Besar menjadi kemuncak acara sebelum majlis ditutup dengan bacaan doa Imam Besar Negeri Kelantan, Dr Muhamad Hana Pizi Abdullah.
Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata, al Quran telah menunjuk cara terbaik menelusuri azam baharu yang lebih baik berbanding tahun lalu.
“Dengan menghayati nilai ini, tahun 2025 mampu menjadi lebih produktif, inovatif, dan berdaya saing, seterusnya membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat, negeri, dan negara.
“Kita hendak memulakan semangat dan azam tahun baru dengan penuh kesyukuran atas nikmat yang diberikan tahun supaya kita dapat baharukan azam, perbaiki kelemahan dan perkukuhkan pencapaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2025












