570 pelajar terima alat tulis tajaan NGO Palestin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia hari ini selesai mengagihkan bantuan pasca banjir kepada 570 pelajar di dua buah sekolah di Pengkalan Kubor dan Tanah Merah.

- Advertisement -

Bantuan berbentuk alat tulis itu ditaja oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Friends of Palestine, Hidayah Education & Charity, serta Muslim Professional Japan Association.

Pelajar yang menerima bantuan adalah mereka yang terkesan akibat banjir besar yang melanda Pantai Timur pada awal Disember 2024.

SMU(A) Maheliah di Pengkalan Kubor menjadi pilihan kerana kawasan ini teruk dilanda banjir.

Selain itu, Sekolah Rendah Ugama Darul Ulum Diniah Tanah Merah turut dipilih kerana komuniti sekolahnya yang prihatin terhadap isu Palestin.

Pengetua SMU(A) Maheliah, Ustaz Mohamad Yusuf melahirkan rasa kagum terhadap rakyat Palestin yang masih peduli dengan keadaan di Malaysia meskipun mereka sendiri diuji dengan konflik berterusan.

“Tindakan mereka memberikan bantuan ini menunjukkan betapa kuatnya ukhuwwah sesama umat Islam,” katanya lagi.

Ketua Projek, Nurul Huda Mamat berkata, penyumbang utama program ini adalah NGO dari Palestin sendiri.

Menurutnya, mereka menghulurkan bantuan bertemakan “One Heart, One Nation” sebagai tanda ingatan dan persaudaraan.

Tambahnya, lebih RM13,000 telah diperuntukkan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Katanya lagi, pada awal Disember lalu, Pertubuhan Cakna Palestin turut mengagihkan 350 pek makanan kering, beras, sabun, dan tuala kepada mangsa banjir di Wakaf Bharu, Rantau Panjang, Pasir Tumboh, Pulau Suri, dan Pasir Putih.

“Semoga bantuan kecil ini menjadi simbol perpaduan antara rakyat Malaysia dan Palestin. Bebaskan Palestin, Selamatkan Masjidil Aqsa,” tambah Nurul Huda. – HARAKAHDAILY 1/1/2025

- Advertisement -