
KOTA BHARU: Ahli Majlis (wakil kaum) Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memberi perhatian serius terhadap tohmahan di akhbar berbahasa Cina dan komen netizen mengenai peraturan baru berkaitan pemilik premis makanan dan minuman.
Menurut wakil kaum MPKB-BRI, Lim Guan Seng, peraturan baru itu memberi galakan pada pemilik dan pengusaha premis mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Iaitu jelasnya, daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sebelum memperbaharui lesen perniagaan atau memulakan operasi.
Katanya, isu ini tercetus selepas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Mat Daud, yang disiarkan oleh Sinar Harian pada 26 Disember lepas.
Beliau memaklumkan, MPKB-BRI adalah satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan yang telah melaksanakan peraturan ini, dengan rancangan untuk diperluaskan ke PBT lain di negeri tersebut.
“Selain itu, isu penarikan SPHM oleh JAHEAIK terhadap beberapa hotel di Kota Bharu turut menjadi perbincangan netizen.
“Sehubungan itu, kami Ahli Majlis MPKB-BRI serta wakil kaum menyangkal beberapa tuduhan melalui penjelasan berikut,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.
Tambahnya pertama, tindakan penarikan SPHM terhadap hotel adalah di luar bidang kuasa MPKB-BRI, sebaliknya melibatkan prosedur JAHEAIK serta JAKIM.
Katanya kedua, syarat SPHM hanya dikenakan kepada tujuh kategori perniagaan tertentu, termasuk restoran berantai, restoran makanan segera, dapur hotel, dan kilang memproses makanan.
“Ketiga, MPKB-BRI telah mengeluarkan lesen sementara kepada premis terlibat untuk memberi masa satu tahun bagi pematuhan syarat SPHM.
“Keempat, MPKB-BRI menafikan dakwaan sekatan terhadap hidangan seperti Bak Kut Teh, Char Siu, dan Siu Yuk di premis bukan-Muslim,” ujarnya.
Beliau yang mewakili Ahli Majlis itu menjelaskan produk tidak halal boleh terus dijual di premis bukan-Muslim khas untuk pelanggan berkenaan.
Beliau memberitahu, setakat tahun 2024, sebanyak 27 restoran khas yang menjual arak dan 35 restoran khas tanpa arak telah diberi lesen kekal oleh MPKB-BRI.
Pihaknya juga menyangkal tuduhan bahawa permohonan lesen baru premis bukan-Muslim ditolak jika tiada SPHM, kerana audit JAHEAIK hanya dijalankan pada premis yang beroperasi. – HARAKAHDAILY 31/12/2024











