Hukuman sebat syariah satu proses pembetulan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ameerah Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukuman sebat syariah di negeri ini yang selaras dengan prinsip undang-undang Islam, di samping menjadi langkah mendidik masyarakat ke arah mematuhi hukum Allah. 

- Advertisement -

Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Asma Abdullah berkata, hukuman sebat yang dilaksanakan di Terengganu adalah selaras dengan peruntukan undang-undang syariah serta tatacara pelaksanaan yang digariskan oleh Islam.

Menurut beliau, ia dilaksanakan mengikut garis panduan syariah berdasarkan enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Enakmen itu memperuntukkan kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Islam sebagai agama rahmatan lil ‘alamin mementingkan elemen pencegahan dan pendidikan.

“Hukuman ini adalah langkah mendidik masyarakat tentang keperluan mematuhi hukum Allah serta memberi kesedaran terhadap kesan perbuatan yang melanggar syariat.

“Tindakan itu bukan bertujuan memalukan atau menzalimi individu, tetapi sebagai proses pembetulan yang penuh hikmah,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam. 

Mengulas lanjut kata beliau, pelaksanaan hukuman tersebut mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan diluluskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu. 

“Menurut Abu Suffian Abu Yaziz, Pengerusi Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) keputusan tersebut dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 31(A) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

“Ia mematuhi SOP Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara yang dikeluarkan oleh JKSM dan telah diendorskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu melalui Arahan Amalan No. 11 Tahun 2023.

“Penyediaan SOP terbabit telah dibuat secara kolaborasi di antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Mahkamah Syariah Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia.

“(Ia dibuat) dengan cukup teliti, cermat dan mengambil kira hak pihak-pihak yang terlibat dengan hukuman, yang melaksanakan hukuman dan pihak yang hadir menyaksikan hukuman,” jelasnya. 

Terdahulu, HarakahDaily melaporkan seorang pesalah di Terengganu dijatuhi hukuman enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu atas kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain enam sebatan, tertuduh juga dihukum denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.

Hukuman sebatan ke atas tertuduh akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu selepas solat Jumaat, pada 27 Disember ini.

Asma mewakili Ameerah Terengganu menyeru masyarakat, termasuk pemimpin dan NGO, untuk bersama-sama menyokong pelaksanaan undang-undang syariah yang membawa hikmah kepada kehidupan umat Islam. 

“Sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab memastikan kefahaman yang jelas tentang hikmah pelaksanaan hukum ini disampaikan kepada semua pihak, khususnya generasi muda,” ujarnya. 

Beliau berharap pihak media juga dapat memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan laporan berkenaan isu tersebut.

“Penyampaian fakta yang adil dan tepat amat penting untuk mengelakkan salah faham masyarakat. Jangan jadikan isu ini sebagai bahan sensasi sehingga mencetuskan provokasi atau prejudis terhadap undang-undang syariah. 

“Kami berharap semoga tindakan ini menjadi pengajaran kepada masyarakat di luar sana agar menjauhi perkara yang dilarang oleh syariat Islam dan seterusnya dapat membentuk masyarakat yang bermoral dan berakhlak mulia,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

- Advertisement -