Hukuman syariah manifestasi keadilan Islam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukuman sebatan syariah yang akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini esok. 

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Ismail Osman berkata, pelaksanaan hukuman itu adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam menjunjung syariat Islam sebagai undang-undang yang membawa keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh umat manusia.

“Pelaksanaan hukuman ini memberikan pengajaran langsung kepada masyarakat mengenai keadilan dan keberkesanan syariah dalam menangani isu moral.

“Ia mendidik rakyat agar menjauhi maksiat, menghormati undang-undang syariah dan membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab serta bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. 

Menurut beliau, pelaksanaan hukuman itu berasaskan dalil daripada Al-Quran dan Sunnah serta dilakukan dengan kaedah yang selaras dengan prinsip kasih sayang dalam Islam. 

“Hukuman sebatan ini berasaskan dalil daripada Al-Quran (surah An-Nur: 2) dan Sunnah Rasulullah SAW, bertujuan mendidik pelaku serta memberi peringatan kepada masyarakat.

“Pelaksanaannya dilakukan dengan penuh hikmah iaitu menggunakan rotan kecil secara sederhana, tidak mencederakan pelaku. Selaras dengan prinsip rahmah (kasih sayang) dan hikmah (kebijaksanaan) dalam Islam.

“Bertujuan membina keinsafan, bukan menimbulkan penderitaan atau hanya bertujuan memalukan semata-mata,” ujarnya. 

Tambah beliau, pelaksanaan itu turut mencerminkan komitmen berterusan Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu terhadap usul Pemerkasaan Syariah yang telah diluluskan dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-70.

“Langkah ini memperkukuhkan kedudukan undang-undang syariah melalui penubuhan jawatankuasa dan sekretariat khusus untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Cadangan pindaan kepada Perlembagaan seperti Perkara 121 (1A), Perkara 74, Perkara 8, dan Jadual Kesembilan bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan memperkukuhkan kedaulatannya,” katanya.

Kronologi kes

20 November 2024: Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 terhadap seorang pesalah khalwat berulang.

3 Disember 2024: Pelaksanaan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada semakan oleh Mahkamah Rayuan Syariah.

11 Disember 2024: Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan hukuman, mengesahkan keadilan dan ketelusan proses perundangan.

Menurut Ismail, sebagai sebuah negeri yang menjunjung syariah, Terengganu menonjolkan dirinya sebagai model pentadbiran Islam yang harmoni dengan kerangka perlembagaan Malaysia.

“Pelaksanaan ini memberikan mesej jelas kepada dunia bahawa syariah adalah sistem undang-undang yang adil, penuh hikmah dan mampu membawa kesejahteraan sejagat.

“Selain bukti bahawa Islam sebagai rahmatan lil-alamin mampu memberikan penyelesaian kepada permasalahan masyarakat, ia juga mengukuhkan kedudukan Islam sebagai sistem yang mendidik, adil dan membawa rahmat kepada semua manusia,” katanya.

Beliau mewakili Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Mahkamah Syariah Terengganu atas keberanian dan komitmen dalam melaksanakan hukuman ini dengan penuh hikmah.

“Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada institusi ini agar terus menjadi teras keadilan yang menjaga kesucian hukum Allah di negeri ini.

“Kami juga menyeru seluruh rakyat Terengganu untuk menerima pelaksanaan hukuman syariah ini dengan hati terbuka, sebagai langkah mendidik dan memelihara keharmonian masyarakat.

“Sesungguhnya, undang-undang syariah adalah rahmat yang membawa keadilan dan kesejahteraan untuk dunia dan akhirat,” katanya – HARAKAHDAILY 26/12/2024

- Advertisement -