Air liur tidak akan buat rakyat kenyang

- Advertisement -

KITA KINI tiba pada penutup tahun 2024. 2 tahun kerajaan Madani dan Perdana Menteri ke-10 (PMX) mentadbir, yang dijanjikan adalah reformasi politik dan penyelesaian masalah rakyat, yang disajikan pula hanyalah lauk pauk dihiasi air liur PMX.

Jika diteliti, janji PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani boleh dirangkumkan kepada dua tema utama iaitu reformasi politik dan isu ekonomi rakyat.

Reformasi politik dan pentadbiran 

Antara yang menjadi bahan kempen paling hebat dan paling utama Anwar Ibrahim adalah menentang rasuah dan ketirisan wang rakyat. 

Sehingga ke saat ini, janji itu terus diulang oleh lidah Anwar sambil tangan dan kakinya bertindak dengan arah yang bertentangan.

- Advertisement -

Segala janji dalam aspek ini sudah tidak lagi relevan saat beliau terus melantik Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masih dibicarakan di mahkamah dengan 47 pertuduhan salah laku dan penyelewengan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Kebetulan pula, beberapa bulan setelah menjadi TPM, kes Zahid dilepas tanpa bebas, DNAA meskipun pihak pendakwa sudah berjaya membuktikan prima facie. 

Sehingga kini, tiada isyarat Zahid akan didakwa semula. Reformasi apa macam ini?

Kemudian, tanpa segan silu dan rasa malu, Anwar Ibrahim melantik diri beliau sendiri sebagai Menteri Kewangan. Sebuah tindakan yang beliau dan rakan-rakan PH amat keji dan tentang sewaktu menjadi pembangkang dahulu. Najib buat dikira salah dan korup, Anwar buat tiada masalah.

Berhubung melawan rasuah habis-habisan, istilah ini amat berat. Ia bermaksud Anwar Ibrahim dan PH akan ‘berjihad’ iaitu mengerah segenap keringat yang ada untuk menentang rasuah dan sebarang unsur-unsur berkaitan hatta sekecil mana pun. Namun adakah itu yang dilaksanakan mereka?

Terkini Anwar Ibrahim ‘meredhai’ pelantikan Tan Sri Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, bahkan mengucapkan tahniah kepada figura politik Sabah itu. Sedangkan, Musa Aman inilah yang Anwar Ibrahim tentang habis-habisan satu ketika yang tidak lama dahulu.

Saya ingin petik satu skandal yang menimpa Kementerian Sumber Manusia bawah pentadbiran Anwar Ibrahim yang terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa sehingga bernilai RM97 juta.

Boleh dikatakan, isu ini ada berlaku dan ada asasnya apabila melihatkan beberapa pegawai yang terbabit dengan isu ini ada yang digantung dan ditukarkan tempat. Jika benar dakwaan salah laku ini tidak berlaku, maka mengapa terdapat individu-individu yang menerima tindakan?

Dan yang paling utama, mengapa menteri yang terlibat, iaitu V Sivakumar yang pada ketika itu menjawat sebagai Menteri Sumber Manusia tidak disiasat? 

Apa bukan kementerian itu berada bawah pemantauan beliau? Jika benar perang terhadap rasuah menjadi fokus kerajaan Madani, buktikan dengan serius dan bukan dengan sekadar air liur.

Kita juga jangan lupa dengan satu peristiwa ‘kebetulan’ melibatkan bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador yang terlibat dengan beberapa urus niaga mencurigakan, antaranya melibatkan isu pembelian saham syarikat Heitech Padu sebanyak 16.1 juta unit dianggarkan bernilai RM40 juta. Secara kebetulan, Heitech Padu telah disenarai pendek untuk projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Pada Oktober lepas, HeiTech Padu Bhd telah berjaya memperoleh kontrak bernilai RM892.19 juta tersebut.

Kebetulan? Atau benar bekas Setiausaha Politik Anwar Ibrahim kini merupakan ahli korporat yang cukup berjaya.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku ini diperhatikan saban hari oleh rakyat. Namun PMX terus menerus melaungkan retorikanya setiap kali berpeluang memegang mikrofon.

Sayangnya, air liur tidak akan buat rakyat kenyang!

Rakyat sudah muak mendengar kata-kata manismu duhai PMX.

Pada bahagian kedua, saya akan ceritakan bagaimana air liur tidak akan selesaikan cabaran ekonomi rakyat.

TAMAR JAYA – HARAKAHDAILY 26/12/2024

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/19gR9UE6bB/ 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -