Nahas lori: PN gesa kembalikan fungsi SPAD

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa pengembalian fungsi dan kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, ia bagi memperkukuh penguatkuasaan serta pemantauan terhadap kenderaan perdagangan, susulan kemalangan maut di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara pada Isnin. 

Ulas beliau, kemalangan yang meragut tujuh nyawa, termasuk lima sekeluarga, serta mencederakan 33 mangsa itu berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan yang ketat dan tegas secara konsisten.

Selain menurutnya, ketidakpatuhan berulang syarikat kenderaan perdagangan terhadap syarat keselamatan, keadaan jalan raya yang tidak selamat, serta kurangnya penggunaan teknologi keselamatan canggih dan berkesan. 

“Kemalangan yang berpunca daripada salah satu tayar lori yang tercabut ini merupakan satu daripada kes yang bakal direkodkan dalam statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“(PDRM) mendapati nahas membabitkan kenderaan berat dengan 825 lori telah terlibat dalam kemalangan maut dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

“Ini seperti yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

“Kemalangan membabitkan kenderaan berat itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 17,905 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut dari Januari hingga Oktober tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Jerantut itu menjelaskan bahawa langkah pengembalian fungsi dan kuasa SPAD itu bertujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat.

Menurutnya, suruhanjaya bebas dengan kuasa autonomi itu juga dapat menjadi agen ‘pematuhan dan tadbir urus’ yang lebih berkesan berbanding Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“APAD kini hanya berperanan sebagai agensi pelaksana di bawah Kementerian Pengangkutan. (Sedangkan) Penguatkuasaan oleh SPAD ini mampu mengurangkan ketidakpatuhan syarikat-syarikat pengangkutan.

“ (Iaitu) menerusi kuasa perlesenan iaitu penguatkuasaan terhadap syarat-syarat keselamatan untuk (lesen pengendali dan permit kenderaan) lesen operasi mereka.

“Ia juga mampu meningkatkan keupayaan pengangkutan awam darat dengan kuasa penuh untuk merancang, menyelaras, dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan pengangkutan awam darat di seluruh Malaysia.

“SPAD dilihat lebih berfokus untuk mempastikan keselamatan pengguna menerusi pemantauan jentera berat yang menggunakan jalan raya,” katanya.

Sebagai satu contoh menurutnya, pemeriksaan berkala dan rawak serta operasi bersepadu oleh SPAD di premis ibu pejabat syarikat pengangkutan.

Jelasnya ia diadakan untuk mempastikan kepatuhan syarat ICOP HSE (Industry Code of Practice related to Health Safety and Environment) adalah lebih berkesan berbanding pemeriksaan di PUSPAKOM.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menangani isu seperti penggunaan tayar baharu yang ditukar setiap enam bulan semasa pemeriksaan di PUSPAKOM, tetapi digantikan semula dengan tayar ‘rethread’ dalam operasi harian.

Selain itu Khairil berkata, PN turut menekankan kepentingan memperbaiki keadaan jalan raya yang tidak selamat seperti jalan berlubang, kurang pencahayaan, dan struktur permukaan jalan berbahaya.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlu memastikan infrastruktur jalan raya dan lebuhraya berada dalam keadaan terbaik dan paling selamat.

“Penguatkuasaan dan pemantauan keselamatan keadaan jalan raya perlu dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi dan data, untuk mempastikan pengguna dapat menggunakan jalanraya dalam keadaan selamat seperti di negara-negara maju,” tambahnya. 

Menurutnya, PN juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden itu dan berharap langkah segera diambil untuk mengelakkan tragedi seperti itu berulang. – HARAKAHDAILY 25/12/2024

- Advertisement -