
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah pemimpin DAP, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Pengerusi Anak Malaysia, Mohammad Rosharizan Mohd Rozlan menyifatkan ia sebagai satu langkah penting terutama menegaskan beberapa isu kritikal berkaitan sensitiviti agama dan integriti negara yang perlu diambil perhatian oleh rakyat dan pihak berwajib.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu mengukuhkan dakwaan bahawa Hannah Yeoh terlibat dalam usaha menyebarkan ajaran Kristian secara terancang kepada masyarakat Muslim di Malaysia, berdasarkan kandungan buku ‘Becoming Hannah’.
Beliau berkata, pengakuan Hannah sebagai ‘Ambassador of God’ serta misi ‘menuntut semula politik demi Tuhan’ memperlihatkan agenda menyentuh sensitiviti agama, yang bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
“Tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa agama lain hanya boleh diamalkan dan tidak boleh disebarkan secara terbuka sehingga ke peringkat mengganggu gugat kepercayaan agama Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohammad Rosharizan juga berkata, fakta Hannah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai menteri serta akses kepada dana awam untuk mendukung operasi berkaitan dengan agenda tersebut adalah dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa.
Tindakan itu katanya, mencabar integriti penggunaan dana kerajaan dan bertentangan dengan semangat perkhidmatan awam yang sepatutnya mementingkan kepentingan rakyat tanpa mengira agama.
“Anak Malaysia menyeru agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci untuk membongkar sama ada tindakan Hannah ini dilakukan secara bersendirian atau sebagai sebahagian daripada gerakan yang lebih besar.
“Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh keamanan, keharmonian agama, dan keselamatan negara sekali gus mencabar Perlembagaan.
“Segala bentuk ancaman, sama ada dari dalam atau luar, perlu ditangani dengan tegas dan berlandaskan prinsip kedaulatan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Selain itu, Mohammad Rosharizan menegaskan bahawa kebebasan bersuara adalah hak yang dihormati, tetapi ia harus disertai dengan tanggungjawab, terutama sekali bagi tokoh awam yang memegang amanah rakyat.
Beliau menggesa semua pihak supaya bersama-sama mempertahankan keharmonian negara daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat perpaduan nasional. – HARAKAHDAILY 25/12/2024











