Musim tengkujuh uji ketahanan petani Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Musim tengkujuh terus menjadi ujian besar buat petani dan penternak akuakultur di negeri ini yang perlu memilih antara menghentikan operasi sementara atau mengambil risiko untuk teruskan usaha. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, fenomena banjir sering memaksa sebahagian petani mengambil ‘monsun break’ untuk mengelakkan kerugian besar.

Katanya, ada juga yang nekad bertani meskipun risiko kerosakan hasil begitu tinggi. 

“Walaupun begitu, ada mereka yang tegar untuk terus bertanam dan menternak walau menyedari risiko yang ada di hadapan. Bukan berserah bulat-bulat kepada takdir tetapi bertawakal setelah berusaha.

“Kerajaan bantu bina sistem saliran dan perparitan untuk melancarkan aliran air bagi mengurangkan risiko air banjir bertakung dalam kawasan tanaman,” katanya dalam satu hantaran di laman _Facebook_ miliknya, hari ini. 

Beliau berkata, penternak akuakultur juga mendapat manfaat daripada Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dibangunkan sebagai tempat perlindungan ikan sepanjang musim tengkujuh. 

Menurut Azman, kenaikan harga hasil pertanian selepas banjir sering menimbulkan tanggapan bahawa petani mendapat keuntungan besar.

Namun, hakikatnya kata beliau, hanya segelintir yang mampu menikmati hasil tersebut setelah menempuh risiko besar. 

“Tak semua keadaan yang kita mampu lalui dan atasi dengan usaha kerana ada banyak faktor luar jangka mungkin berlaku bila kita berbicara topik bencana alam seperti banjir. Ada yang berjaya lepasi halangan dan tak kurang juga berdepan kerugian.

“Mereka yang berjaya dapatlah menikmati harga jualan yang sedikit lumayan. Maka terdengarlah ungkapan, untunglah petani harga sayur mahal loni (sekarang)!.

“Ramai yang tak menyedari pengorbanan dan risiko, keringat dan air mata yang tumpah sebelum dapat menikmati hasil dengan senyuman. Mereka yang berdepan kerugian, kerajaan negeri bantu melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu,” katanya.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut berkongsi luahan seorang petani yang menggambarkan betapa sukarnya pekerjaan mereka.

“Saya tersentuh dengan kata-kata seorang petani, bila kutip hasil, luas mata kita tengok kebun sejauh mata memandang. Masa kerja dulu tak boleh nak buka mata, pedih dengan air peluh. Kadang-kadang air peluh bercampur air mata.

“Pengguna yang selalu suka tawar-menawar bila nak beli hasil pertanian belum tentu punya tekad dan kesungguhan seteguh para petani kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2024

- Advertisement -