
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memandang serius keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan terhadap kes Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertuduhan rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Presiden GAMIS, Imran Sulaiman berkata, keputusan tersebut menimbulkan persoalan besar mengenai iltizam politik kerajaan dalam memerangi rasuah dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa pengaruh politik.
Beliau berkata, bertitik tolak dengan itu, GAMIS mendesak sekeras-kerasnya agar Peguam Negara dapat memberikan penjelasan terbuka dan menyeluruh mengenai keputusan ini.
“Peguam Negara seharusnya dapat mengemukakan kewajaran yang munasabah atas representasi Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sehingga keputusan ini dibuat.
“Kuasa Peguam Negara juga hendaklah dipisahkan daripada fungsi Pendakwa Raya untuk mengelakkan konflik kepentingan,” ujarnya menerusi kenyataan media di laman sosial.
Tambah beliau lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) haruslah diberikan kuasa penuh dan autonomi untuk memastikan siasatan kes-kes rasuah berprofil tinggi tidak terganggu oleh mana-mana pihak.
“Proses tender kerajaan juga perlulah diperbaiki dan ditambah baik bagi mengelakkan monopoli dan ruang untuk salah guna kuasa,” jelasnya
Sehubungan itu Imran berkata, GAMIS mewakili mahasiswa seluruh Malaysia tidak akan membiarkan keputusan sebegini mencetuskan persoalan yang tidak berpenghujung untuk mengelakkan spekulasi negatif mencemarkan reputasi sistem kehakiman negara.
Katanya, isu ini mengukuhkan keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi dalam institusi kehakiman dan penguatkuasaan.
Keputusan ini berpotensi meranapkan kepercayaan mahasiswa terhadap usaha kerajaan dalam memerangi rasuah. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











