
KUALA LUMPUR: Pengguna Malaysia masih terdedah kepada ancaman siber seiring dengan perkembangan pesat pusat data di negara ini.
Senator Abdul Nasir Idris berkata, pindaan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian 2024 adalah antara usaha untuk menangani cabaran itu serta melindungi hak dan kepentingan pengguna dalam talian.
“Adakah rang undang-undang ini melindungi masyarakat tanpa melanggar hak asasi seperti kebebasan bersuara dan juga privasi?
“Selain itu, adakah penggubalan pindaan rang undang-undang ini bersifat adil dan tidak berat sebelah terutama kepada kumpulan rentan?” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian 2024 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Abdul Nasir turut mengingatkan bahawa pelaksanaan pindaan itu harus jelas dan telus bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan kuasa.
“Oleh demikian, apakah ia dapat dilaksanakan dengan jelas, tanpa salah guna kuasa?” katanya.
Justeru, beliau berharap agar isu itu dapat diberi perhatian sewajarnya agar rang undang-undang tersebut benar-benar berfungsi sebagai perlindungan menyeluruh kepada pengguna di Malaysia tanpa menjejaskan hak dan kebebasan mereka. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











